Powered by Blogger.

Nov 14, 2008

Parti politik sudah mula rasai impak 2 juta pemilih baru

Parti politik sudah mula rasai impak 2 juta pemilih baru
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB dan NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras dalam usaha menarik golongan pengundi muda termasuk dua juta pengundi baru menjelang pilihan raya ke-13.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tambahan sejumlah bakal pemilih itu akan memberi kesan besar ke atas keputusan pilihan raya umum ke-13.


"Jika kita tengok keputusan pilihan raya umum baru-baru ini, sememangnya undi golongan muda akan memberi kesan yang besar.


"Oleh itu, BN perlu bekerja keras dan mengambil iktibar daripada pilihan raya umum lalu," katanya ketika dihubungi mStar Online semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan The Star dan mStar Online semalam berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa dua juta orang golongan muda yang berumur bawah 21 tahun berpotensi tersenarai dalam daftar pemilih menjelang pilihan raya ke-13.



Suruhanjaya itu menjangkakan lebih ramai akan mendaftar sebagai pemilih berdasarkan pada senario politik semasa.


Ditanya kemungkinan parti pembangkang berpeluang mengambil alih pentadbiran negara melalui pilihan raya akan datang, Nazri berkata , ia tidak mustahil jika tidak membetulkan kekurangan-kekurangan yang wujud.


Justeru beliau berkata, BN perlu melihat aspirasi golongan muda yang tidak mahu melihat sesuatu yang tidak betul berlaku dalam kerajaan.


"Kita tengok aspirasi mereka. Mereka tidak mahu melihat kepincangan termasuk rasuah berlaku," katanya.


Nazri berkata, golongan muda juga cenderung mendapatkan maklumat berhubung isu-isu yang berlaku melalui internet.


"Kita bercakap tentang pilihan raya. Oleh itu, setiap ahli Parlimen BN kini perlu memainkan peranan mereka.


"Kalau saya di Padang Rengas, pengundi di sana hanya 18,000 orang... jadi tak sukar bagi saya untuk menghubungi mereka tetapi kalau (ahli Parlimen) di bandar, mereka perlulah gunakan internet juga untuk mendekati golongan muda ini," katanya.


KOMEN PEMERHATI POLITIK


Dalam pada itu, pemerhati politik melihat pola pemilih baru menjelang pilihan raya umum ke-13 akan membawa perubahan besar kepada senario politik negara dengan parti-parti politik mempunyai cabaran untuk menarik sokongan golongan muda ini.


Menurut Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, parti-parti politik kini perlu memainkan peranan mereka dalam menarik minat dua juta golongan yang akan disasarkan ini untuk aktif dalam politik.


“Mendaftar sebagai pengundi dan aktif dalam politik adalah dua perkara yang berbeza. Justeru parti-parti politik kini perlu mendekati golongan ini supaya aktif dalam politik kerana dari situlah, komitmen mereka untuk keluar mengundi akan timbul.


“Itulah cabaran besar yang perlu dihadapi oleh parti-parti politik negara ini baik kerajaan atau pun pembangkang,” katanya.


Dalam pada itu, pensyarah sains politik UKM, Prof Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman pula berpendapat perkembangan politik semasa telah mempengaruhi selera pengundi-pegundi muda ini dalam membuat keputusan parti pilihan mereka.


“Orang muda hari ini berfikiran lebih kritis dalam isu-isu seperti hak asasi, keterbukaan dalam pemerintahan, kerajaan yang bebas daripada rasuah dan isu ISA yang menjadi faktor kepada perubahan tersebut.


“Mereka lebih bersemangat dan lantang bersuara memperjuangkan hak mereka. Mereka banyak menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil dan Gerakan Mansuh ISA jadi ini dilihat sebagai satu perubahan daripada aspek pemikiran mereka,” katanya.


Ahmad Nizammuddin berkata, faktor ini dipengaruhi oleh kesedaran politik yang tinggi di samping gesaan daripada rakan-rakan daripada parti politik pembangkang,” katanya.


Jelas beliau, golongan pengundi muda ini merupakan golongan yang berani memberi peluang kepada sesuatu yang baru.


“Sikap berani mencuba akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah menjelang PRU ke-13,” katanya.


Sementara itu, pensyarah sains politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Azeem Fazwan Ahmad Faruk berkata, cara golonngan muda mengundi pada pilihan raya akan datang masa hadapan akan dipengaruhi oleh banyak faktor termasuk pendedahan kepada politik dan sentimen semasa yang mempengaruhi undi mereka.


“Kalau lihat pengundi muda, mereka berfikiran kritikal kesan daripada revolusi internet kerana kebanyakan mereka mendapatkan maklumat internet termausk daripada blog.


“Walaupun mungkin ada yang tidak benar (kandungan internet) tetapi mereka cenderung untuk mempercayainya.


“Ini disebabkan mereka tidak lagi menjadikan akhbar dan televisyen sebagai sumber mendapatkan maklumat kerana menganggap media arus perdana ini sudah kurang kredibilitinya dalam menyampaikan berita,” katanya.


Selain itu katanya, cara golongan muda ini berkomunikasi antara satu sama lain juga berbeza termasuk melalui blog, e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).


“Ini semua memberi cabaran kepada parti-parti politik terutama parti pemerintah yang perlu terus mempertahankan kedudukan mereka.


“Mereka perlu memikirkan jalan untuk mempengaruhi golongan pengundi baru ini dengan cara baru kerana wujud jurang generasi antara golongan muda dan tua melalui cara mereka berfikir,” katanya.


Azeem berkata, terdapat banyak faktor yang akan mempengaruhi keputusan pilihan raya akan adatang termasuk kedudukan ekonomi, harga barang dan kadar jenayah dalam negara.


“Kalau mereka puas hati dengan keadaan pada masa itu, mereka akan undi parti pemerintah. Kalau tidak, mereka akan mengundi pembangkang,” katanya.



0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP