Powered by Blogger.

Nov 4, 2008

Najib kemuka ucapan sulung, pembangkang pulau Dewan

Najib kemuka ucapan sulung, pembangkang pulau Dewan

NAJIB Tun Razak mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 di Dewan Rakyat petang tadi. - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat bertukar tegang sambil pembangkang memulaukan sidang ketika Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang mengambil alih portfolio sebagai Menteri Kewangan lebih sebulan lalu, menyampaikan ucapan sulung penggulungan Bajet 2009 petang ini.

Lebih 70 ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat atas alasan tidak diberi laluan untuk mengemukakan soalan.

Ketegangan bermula kira-kira lima minit Najib mula berucap sambil memaklumkan Dewan Rakyat bahawa beliau tidak akan memberi laluan sehingga habis mengemukakan ucapannya.

Makluman itu menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil rakyat Parlimen pembangkang.

ANWAR Ibrahim keluar daripada Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen kerana tidak berpuas hati kerana didakwa tidak diberi peluang mencelah ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan. Turut kelihatan Azmin Ali (PKR-Gombak) (kanan). -- fotoBERNAMA

Kekecohan bermula pada awal sesi penggulungan yang bermula 4.30 petang apabila Najib memberitahu Dewan beliau hanya akan memberi laluan untuk penjelasan selepas membentangkan dasar-dasar untuk menangani masalah ekonomi.

Ini menimbulkan rasa kurang senang dan bantahan daripada beberapa wakil pembangkang antaranya Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat), Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Mahfuz Omar(Pas-Pokok Sena), Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

TIAN Chua sempat melambai ke arah media selepas diarahkan keluar daripada Dewan Rakyat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana enggan mematuhi arahan untuk duduk dan tidak meneruskan bantahan pada sesi penggulungan Perbahasan Bajet 2009 bagi Kementerian Kewangan hari ini. --fotoBERNAMA

TIAN CHUA DIARAH KELUAR

Bagaimanapun tindakan Tian Chua (PKR-Batu) yang terus berdiri untuk menyuarakan bantahan tanpa mengendahkan arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyebabkan beliau diarah meninggalkan dewan sehingga sesi penggulungan itu selesai.

Anwar kemudiannya bangun untuk meminta penjelasan sekali lagi daripada Najib sama ada beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk mencelah ketika sesi penggulungan peringkat pertama itu berjalan.

"Biar Menteri jawab, boleh atau tidak kita gunakan ruang untuk berhujah sekarang atau tidak boleh?," soalnya kepada Najib sambil meminta supaya Najib sendiri yang memberikan jawapan berkenaan.

Najib kemudiannya menegaskan, beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk berbuat demikian, tetapi hanya selepas peringkat pertama penggulungan itu selesai iaitu apabila beliau selesai membentangkan dasar dan langkah baru yang dicadangkan kerajaan untuk menangani masalah ekonomi negara.

"Saya ada beberapa langkah yang saya bentangkan. Biar saya bentang dulu kemudian saya bagi peluang. Sekarang ini, Yang Berhormat semua ganggu saya.

"Saya boleh bagi (bagi peluang)... Boleh, kemudian. Tapi tunggu kemudian... Apa yang terdesak sangat ni?" katanya bagi memberi penjelasan kepada Anwar yang ingin mengetahui sama ada beliau akan memberi laluan untuk penjelasan atau tidak.

Pandikar Amin kemudiannya bertanyakan kepada Najib sekali lagi sama ada mahu memberikan laluan kepada Ahli Parlimen yang ingin mencelah untuk meminta penjelasan.

"Mahu kasi laluan atau tidak semasa ini?" soal Pandikar Amin kepada Najib.

Najib menjawab: "Saya nak bentangkan, itu hak saya Tuan Yang Dipertua. Itu hak saya."

Dewan Rakyat terdiri daripada 83 ahli pembangkang termasuk dua wakil Bebas.

Anwar langsung tidak kembali ke Dewan Rakyat selepas Najib habis berucap.

Bagaimanapun beberapa ahli Parlimen dilihat keluar masuk Dewan.

KOMEN ANWAR

Di lobi Parlimen Anwar memberitahu wartawan bahawa beliau hairan dengan tindakan Menteri Kewangan enggan memberi laluan untuk memohon penjelasan.

"Apa yang dipersoalkan ialah Najib mengemukakan angka baru dalam penggulungannya.

"Tiada makna kalau kami hanya datang untuk mendengar, kami boleh baca sendiri.

"Apa yang kami mahukan ialah penjelasan kepada angka-angka baru ini," katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat ketika ditanya mengapa pembangkang tidak tunggu kerana Najib sendiri mengatakan akan memberi laluan selepas membentangkan langkah-langkah tambahan Bajet 2009 berkata:

"Ini bukan soal boleh tunggu atau tidak."

Katanya, ahli-ahli Parlimen sudah menunggu selama dua minggu supaya kerajaan membentangkann bajet yang baru kerana bajet yang lama sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan seolah-olah menidakkan cadangan yang dikemukakan oleh pembangkang supaya membentangkan bajet baru, yang lebih relevan.

Ia merupakan ucapan penggulungan pertama bajet bagi Najib selaku Menteri Kewangan.

Bajet 2009 telah dibentangkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Ogos lalu dan kemudian bertukar portfolio dengan Najib.

Dalam pada itu, Najib memberikan laluan kepada Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) untuk bertanya soalan kira-kira pukul 6.05 petang selepas habis menyampaikan ucapan yang menyentuh senario global dan langkah-langkah tambahan.

Selain Ibrahim lapan wakil Barisan Nasional (BN) juga mengemukakan soalan kepada Najib.

Ucapan Najib yang bermula kira-kira 4.30 petang berakhir pada pukul 6.50 petang.

PENJELASAN NAJIB

Dalam pada itu, Najib pada sidang akhbar berkata, tindakan Pakatan Rakyat keluar Dewan Rakyat adalah tidak bertanggungjawab kerana sudah mengatakan bahawa akan memberi peluang bertanya soalan selepas habis membentangkan langkah-langkah tetapi pembangkang tidak sabar.

Beliau berkata, pembangkang tidak sepatutnya bertindak demikian kerana apa yang dibentangkan di dalam Dewan Rakyat adalah langkah tambahan yang begitu penting untuk masa depan negara dan juga untuk membela kepentingan rakyat.

"Jadi dalam pembentangan seperti ini, mereka sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan menunjukkan sikap yang membina sepatutnya hadir dalam masa pembentangan itu.

"Ini satu yang rakyat mesti sedar bahawa mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pembangkang yang konstruktif dan bertanggungjawab," katanya.

Kata Najib, beliau membuat keputusan tidak memberikan laluan untuk penjelasan sehingga selesai pembentangan peringkat pertama kerana ingin memberikan gambaran yang jelas supaya tidak ada pihak yang terkeliru dengan langkah dan dasar baru yang dibentangkan.

"Elok saya buat pembentangan dulu. Bila dah nampak gambaran keseluruhannya, kalau mereka nak buat pertanyaan penjelasan, saya sanggup memberi penjelasan. Tapi nampaknya mereka tidak sabar dan nak keluar juga.

"Saya memang dah janji bahawa saya akan bagi masa untuk mereka membuat sebarang pertanyaan dan penjelasan.

"Saya bukan menafikan, saya menggunakan hak saya untuk menentukan bila saya nak bagi peluang," katanya.

Ketika ditanya sama ada kekeliruan berlaku di antara bajet baru dan bajet tambahan yang dibentangkan hari ini, Najib berkata: "Ini bukan bajet baru sebab dari segi jumlah untuk perbelanjaan pembangunan dan untuk bajet perbelanjaan pengurusan ia masih kekal pada paras yang sama."

Dpetik dari SINI....

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP