Obama pilih Peguam Negara berkulit hitam pertama Amerika
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Barack Obama sudah menamakan peguam veteran, Eric Holder sebagai Peguam Negara, sekali gus peguam kulit hitam Afrika-Amerika pertama menduduki jawatan itu.
Holder, yang pernah menjadi Penolong Peguam Negara ketika pentadbiran bekas Presiden, Bill Clinton, akan mengetuai Jabatan Keadilan Negara, lapor majalah Newsweek yang memetik sumber perundangan yang rapat dengan pentadbiran peralihan Obama.
Pentadbiran peralihan Obama bagaimanapun tidak dapat memberikan komen segera mengenai laporan berkenaan tetapi kemudian disahkan stesen berita NBC.
"Obama menawarkan Holder jawatan itu dan dia menerimanya," kata Newsweek dengan menambah 'pengumuman mengenainya hanya akan dibuat Obama selepas memilih siapa yang mengetuai Jabatan Negara dan Perbendaharaan Negara'.
"Ia satu pilihan yang simbolik. Ia yang pertama, sejarah pertama sebagai orang berkulit hitam mengetuai Jabatan Keadilan Negara Amerika," kata NBC.
Mengikut profil peribadinya, Holder lahir di New York dan ayahnya seorang imigran dari Barbados yang datang ke Amerika Syarikat ketika usia muda.
Holder adalah lulusan Columbia College sebelum memperoleh ijazah undang-undang dari Columbia Law School pada 1976. - AFP
0 comments:
Post a Comment