Iluminasi AJL23
Berakhirlah sudah teka-teki siapakah pemenang Anugerah Juara Lagu ke-23. Malam penuh gilang-gemilang ini bersesuaian dengan temanya yakni Iluminasi. Pentas bermandikan cahaya berwarna-warni. Cuma pendapat saya kualiti bunyi agak kurang memuaskan, mungkin dari sudut saya lantunan bunyinya tidak kesampaian. Pengacara malam AJL23 iaitu Cheryl Samad, Ally Iskandar dan juga Faizal Ismail berjaya menghangatkan suasana dan juga mengawal penonton. Tampak keserasian mereka bertiga malam tersebut. Jika tahun lepas, Estranged menjadi pemenang Juara Lagu, tahun ini milik band indie Meet Uncle Hussein dengan lagunya Lagu Untukmu ciptaan Taja, Tass dan Lan. Keputusan malam tersebut adalah adil dan walaupun begitu, ada suara-suara sumbang yang bertanya kenapa Faizal Tahir tidak menang? Sebagai peminat, saya juga berasa sedikit hampa, namun Faizal tidak pulang dengan tangan kosong. Faizal Tahir berjaya membawa pulang anugerah kategori Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Kategori Balada Terbaik menerusi lagu Sampai Syurga ciptaan Audi Mok dan Ahmad Izham Omar serta lirik oleh Faizal sendiri. Malam itu turut menyaksikan Elyana melakukan persembahan berkasut! Syabas Elyana, penampilannya juga amat menarik. Persembahan Aizat juga tidak kurang hebat. Walaupun tidak menang, sekurang-kurangnya Aizat antara pendatang baru seni suara yang mampu melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu. Hampir kesemua persembahan malam itu, penyokong dan peminat turut menyanyikan lagu-lagu yang dipertandingkan. Amat gamat Stadium Putra Bukit Jalil dibuatnya! Saya merasakan suasana Anugerah Juara Lagu tahun ini lebih hangat dan lebih hebat daripada tahun-tahun sebelum ini. Kepada yang menang, syabas dan sekalung tahniah dan kepada yang tidak membawa pulang apa-apa anugerah, anda tetap menang kerana berjaya ke final! SENARAI PEMENANG ANUGERAH JUARA LAGU 23
|
0 comments:
Post a Comment