Powered by Blogger.

May 27, 2009

Sarimah Ibrahim Puas glamor



Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my




Sarimah Ibrahim tidak pernah ambil mudah setiap kerja yang diamanahkan kepadanya

TUHAN mungkin tidak memenuhi segala yang diimpikan manusia serentak. Namun sekelumit kelebihan kurniaan-Nya mampu mencambah serta membesar dan sekiranya dipelihara akan membuka mata umum untuk melihat keistimewaan itu.

Membina nama sejak lebih 13 tahun lalu, bakat seni wanita berbintang Aquarius berusia 31 tahun ini terus bercambah dan tidak statik kepada satu cabang karier.


Menjadi penyanyi, pelakon, model iklan dan pengacara - setiap satu profesion memutikkan kejayaan kepada wanita kelahiran Dublin, Ireland.

“Saya sudah puas merasai alam glamor,” katanya mengulas segala nikmat yang pernah dikecapi sepanjang tempoh panjang itu.

Tetapi kata Sarimah, semua kepuasan dan pencapaian tidak pernah menoktahkan pencarian untuk terus berusaha mempertingkatkan kemampuannya.



Setiap apa yang dilakukannya menuntut perancangan teliti. Mudah bagi Sarimah kerana apa yang dimahukan kini adalah hasil terbaik serta dilakukan atas landasan benar.

“Saya cuma mahu bekerja dan memberikan hasil maksimum, tanpa perlu terkejar-kejar soal glamor dan populariti lagi. Lihat saja selama 13 tahun dalam industri ini, saya masih menguruskan diri sendiri.

“Kepuasan melakukan pelbagai kerja serentak pernah saya rasai dulu. Tetapi sekarang saya tidak mahu lagi terkejar-kejar.

“Saya hanya terima tawaran lain andai ada masa serta bersesuaian,” kata Sarimah akur kerjaya pengacaraan menuntut waktu yang panjang terutama ketika musim Akademi Fantasia (AF) berjalan.

Dua musim mengendalikan slot harian, Diari Akademi Fantasia memudahkan Sarimah untuk memberikan persembahan yang memenuhi selera khalayak.

Setiap apa juga komen dan kritikan yang dilontar akan diberi perhatian, malah diperbaiki dan kesungguhannya membuatkan kemunculan Sarimah begitu disenangi penonton.

Namun untuk memberi kepuasan, Sarimah mengakui, dia bekerja keras memerah otak dan mencari idea bagi mempelbagaikan penampilan di kaca televisyen supaya penonton tidak bosan.

Apatah lagi, persembahan Diari AF7 dibawakannya sedikit berbeza berbanding musim terdahulu yang lebih ringkas tetapi kali ini diselitkan pelbagai elemen untuk mencuit hati khalayak.

Kreativiti dan kerja keras Sarimah berjaya mencorakkan Diari AF7 membentuk sebuah acuan tanpa terlalu terikat dengan kebiasaan yang pernah dilakukan dulu.

“Ia agak memenatkan dan membebankan tetapi bukan dari aspek produksi, sebaliknya saya keletihan mencari idea baru namun memang puas sebaik melihat hasilnya.

“Kebanyakan idea saya lahirkan sendiri dan alhamdulillah, apa yang dilakukan itu disenangi malah program ini juga mencatat jumlah tontonan selesa setiap kali bersiaran,” katanya.

Lebih membuatkan isteri kepada Amir Andrew Browning ini terharu apabila bekas pengacara AF, Aznil Nawawi memuji kreativitinya, malah sentiasa mengikuti apa yang dipersembahkannya.

“Siapa yang tidak terharu apabila pengacara nombor satu dan sememangnya sinonim dengan AF memberitahu, dia ketagih mahu menonton Diari AF7. Pujian Aznil membuatkan saya sangat bersyukur,” katanya.

Akui wanita kacukan Melayu - Irish ini, Diari AF7 menuntut sebahagian besar masanya dan jadual hariannya padat apabila musim terbaru program realiti itu bermula.

“Saya perlu sentiasa bersedia kerana apa saja boleh berlaku. Setiap kali selesai bersiaran, saya akan menonton rakaman untuk mencari kelemahan dan kekurangan.

“Walaupun terpaksa menutup sebelah mata menonton, saya ajar diri menonton rakaman kerana jika tidak berbuat demikian saya tidak akan pernah tahu di masa salah dan silap.

“Saya hanya bebas pada Ahad namun fikiran tetap sentiasa berputar untuk mencari idea baru apa yang akan dipersembahkan pada minggu berikutnya,” katanya.

Mahu kembali berlakon

KERAP Sarimah meluahkan keinginannya untuk kembali berlakon. Sama ada di layar perak atau kaca, ia masih mengujakan Sarimah untuk memenuhi kecintaannya itu.

Penantian empat tahun itu berakhir apabila pengarah prolifik, Aziz M Osman menawarkan watak untuk filem terbaru arahannya, CE1.

Awalnya dia diberikan watak utama. Namun atas komitmen terhadap Diari AF7, peranan itu terpaksa dilepaskan. Sekalipun menggalas watak sampingan, ia sudah cukup membahagiakan Sarimah selepas empat tahun tidak berlakon.

“Kali terakhir saya bekerja dengan Aziz dalam Puteri Impian 2. Sudah 11 tahun dan kerana itu saya seronok dapat kembali ke lokasi penggambaran.

“Bukan tiada tawaran sebelum ini, cuma saya perlu melakukan perancangan teliti. Selepas menandatangani kontrak eksklusif sebagai pengacara bersama Astro, banyak perkara perlu dipertimbangkan.

“Dalam setiap apa juga keputusan saya perlu menjaga hati mereka. Bukan saya tidak bebas membuat keputusan, cuma saya tidak mahu menimbulkan sebarang masalah besar di kemudian hari,” katanya.

Barangkali ketelitian Sarimah hanya membuatkan namanya sesekali mekar namun dia bersyukur kerana pintu rezeki sentiasa terbuka luas untuknya.

Andai segala perancangan menuju jalan positif, Sarimah bakal dilamar sebagai duta produk selain muncul dengan program baru berkaitan fesyen dan penampilan diri di Astro Ria.

“Ini yang dikatakan perubahan. Apabila usia meningkat dan pemikiran juga matang, alhamdulillah, masih ada yang menyedari kehadiran saya serta mahu membangunkan produk mereka bersama,” katanya.

Sedang berjinak dengan kerja di balik tabir, Sarimah juga sudah mula menulis skrip dan program baru yang akan menemui penonton sekitar Ogos ini akan menyerlahkan hasil ideanya nanti.

INFO:

  • Nama Penuh: Sarimah Ibrahim

  • Asal: Dublin, Ireland

  • Tarikh Lahir: 19 Februari 1978

  • Umur: 31 tahun

  • Keturunan: Melayu-Irish

  • Pendidikan: The Cambridge High School, Abu Dhabi, UAE dan DiplomaPsikologi Kolej Inti, Subang Jaya, Selangor dan Celta Certificate (Cambridge Certificate of English Language Teaching to Adults dari The British Council Kuala Lumpur)

  • Keluarga: Anak sulung daripada empat beradik

  • Status: Berkahwin

  • Suami: Amir Andrew Browning

  • Kerjaya: Pengacara, pelakon dan penyanyi

  • Filem: Seiras Hati, Maka Diciptanya Perempuan, Puteri Impian 2, Janji Diana, MX3 dan Gerak khas 3

  • Rancangan TV: The Attic Show TV2, The Disney Channel, The RIM Chart Show NTV7, ntv7 Kids@7, The Oreo Zone, Malaysia 2020 RTM, Anugerah Juara Lagu 18, Anugerah Juara Lagu 19, Galaksi TV9, Fail Sulit AF, Ikon Malaysia, Ikon Asean, Diari AF6, Diari AF7, Tirai AF & Diari INT AF7

  • Pencapaian: Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik (2001), Artis Baru Terbaik Anugerah Media Hiburan (1998), Pengacara Televisyen Terbaik Anugerah Skrin (2005) dan Artis Baru Pilihan Anugerah Era (2001)

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP