Soalan :
Assalamualaikum,
1) Saya ingin bertanyakan masalah khilaaf aulawiy sahaja, tetapi bagi saya ini cukup penting iaitu apabila kita memilih
untuk menggunakan pendapat Imam Malik yang mengatakan boleh makmum tidak membaca fatihah belakang imam
yang ditujukannya kepada solat Jahr sahaja, saya musykil adakah tidak perlu membaca fatihah pada dua rakaat yang
dibaca sahaja atau pada keempat-empat rakaat tu kita tidak perlu baca misalnya pada waktu solat isya'?
2) Adakah tidak sah jikalau kita menjadi imam & memperdengarkan lafaz takbir secara kuat dengan niat
memperdengarkannya kepada makmmum?
3) Adakah boleh seseorang muallaf yang masuk islam menerima pusaka daripada keluarganya yang bukan islam
walaupun dia seorang yang miskin?
Dari : : Umar bin Muhammad
Jawapan dari www.darulkautsar.net
1
– Masalah bacaan al-Fatihah dalam solat tidak boleh dipandang ringan
kerana ia merupakan wajib dibaca pada setiap rakaat, sama ada sembahyang
sendirian atau menjadi makmum di sisi mazhab Syafi’i dan Ahli Hadis. Apabila anda hendak mengamalkan sesuatu pendapat perlu dipastikan kejelasannya.
Dalam
hal ini, sekiranya anda ingin memilih pendapat Imam Malik sepatutnya
diketahui bahawa beliau mewajibkan bacaan al-Fatihah ke atas makmum
dalam rakaat yang imam tidak menyaringkan bacaan, sama ada sembahyang
jahri atau sirri. Tetapi wajib juga membaca al-Fatihah apabila bacaan
imam (pada dua rakaat pertama sembahyang jahri) tidak didengarinya.
Sebagai contoh dalam sembahyang Isya`, dua rakaat pertama tidak wajib
makmum membaca surah al-Fatihah tetapi wajib pada dua rakaat yang akhir.
Secara ringkas disebutkan khilaf ulama dalam masalah ini:
Mazhab
Hanafi, makmum tidak wajib membaca surah al-Fatihah, sama ada solat
jahri atau sirri, pada dua rakaat pertama atau rakaat yang baki dalam
sembahyang jahri. Kewajipan menjadi gugur kerana imam menanggung.
Mazhab
Malik, makmum tidak wajib membaca surah al-Fatihah, pada dua rakaat
pertama solat jahri dan wajib membacanya pada selainnya. Makmum wajib
membaca al-Fatihah sekiranya dia tidak mendengar bacaan imam.
Mazhab Syafi’i, makmum wajib membaca al-Fatihah dalam mana-mana rakaat dalam mana-mana sembahyang.
2 – Bagi
seorang imam, takbir mesti dilafazkan dengan jelas supaya didengari
oleh makmum bagi mengetahui perpindahan rukun. Mengikuti imam hanya akan
sempurna apabila diketahui pergerakan imam.
3
– Seorang mukallaf tidak berhak menerima pusaka dari warisnya yang
bukan Islam walaupun dia seorang miskin kerana Rasulullah s.a.w.
bersabda:
عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ اَلنَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : لَا يَرِثُ اَلْمُسْلِمُ اَلْكَافِرَ, وَلَا يَرِثُ اَلْكَافِرُ اَلْمُسْلِمَ - مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Daripada
Usamah bin Zaid bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang Islam tidak
mewarisi daripada orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi daripada
orang Islam. (al-Bukhari dan Muslim)
Sebab perpindahan pusaka ialah kekeluargaan dan keislaman bukan kemiskinan.
والله أعلم
0 comments:
Post a Comment