Sudah lama saya tidak berpatisipasi di dalam program anjuran Nisa’.
Dulu ada sebuah program di Kompleks PKNS Shah Alam. Pernah juga di
Masjid Shah Alam berdekatan. Ada sekali berforum di Hotel Quality. Nisa’
merupakan sebuah NGO yang aktif menganjurkan program-program yang
berbentuk pemerkasaan ilmu di dalam komuniti wanita kita.
Alhamdulillah pagi tadi, saya berpeluang menyertai sebuah program
anjuran Nisa’ Putrajaya. Kuliah Dhuha kali ini diadakan di Masjid
Sultan Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Putrajaya. Tajuk yang
diberikan adalah GADIS SEMASA.
Di celah-celah kesibukan tugas, saya mengambil peluang menyemak
lembaran-lembaran buku berkaitan biografi tokoh-tokoh gadis atau wanita
di kurun emas Islam. Kita ada senarai nama yang panjang, bermula
daripada Khadijah bin Khuwailid, Aisyah bt. Abu Bakr, Fatimah al-Zahra’,
Asma’ bt. Abu Bakr, Zunairah al-Rumiyyah, Ummu Salamah, Sumayyah dan
ramai lagi sahabiyyat, radhiyallaahu ‘anhum ajma’een.
Membaca Sirah kehidupan mereka, saya tertanya-tanya bagaimanakah
persepsi GADIS SEMASA semasa membacanya. Adakah sama seperti saya? Kita
bukan hanya perlu membaca, tetapi kita kena tahu apa yang hendak dicari
dalam bacaan itu. Sebab itu ada ribuan buku Sirah, setiap satunya
signifikan kerana setiap satunya membantu kita mencari.
Apa yang GADIS SEMASA sepatutnya cari?
klik imej untuk besarkan paparan
Sesungguhnya di dalam sejarah, semasa dan
masa depan kita, umat telah memiliki Khadijah, Aisyah, Fatimah dan Asma’
yang telah berdiri untuk zaman mereka. Apa yang kita mahukan adalah
GADIS SEMASA yang memiliki kualiti-kualiti Khadijah, Aisyah, Fatimah dan
Asma’ untuk berdiri dalam bahasa kita, mendepani cabaran kita dan
menjadi srikandi untuk zaman kita. Kualiti mereka itu yang hendak
dipetik dan dipeluk sebagai karakter bawaan semasa.
KHADIJAH
Khadijah radhiyallahu ‘anha memaparkan
watak seorang wanita yang unik. Mengimani Rasulullah sallallaahu ‘alayhi
wa sallam ketika baginda masih keseorangan dalam membawa risalahnya,
Khadijah adalah contoh wanita terpuji yang berkerjaya, dinamik, beranak
pinak dan berhasil pada mendidik anak-anaknya, cerdas pandangan, berani
menongkah arus dan semuanya dilakukan dengan penuh keseimbangan di dalam
persekitaran rosak yang penuh tekanan.
AISYAH
Aisyah radhiyallahu ‘anha pula kelihatan
sebagai seorang wanita yang ‘hidup’, penuh ‘emosi’ dan intelektual yang
tinggi, menjadi ‘pencabar’ peribadi kepada pengendalian hidup oleh suami
yang mulia, menjadikan Sirah Baginda tidak akan berwarna warni untuk
menjadi uswah hasanah kita, tanpa seorang isteri, anak murid, teman
karib, penghibur dan sesekali ‘perunsing’ seorang manusia mulia yang
amat manusiawi bernama Muhammad bin Abdullah sallallaahu ‘alayhi wa
sallam.
FATIMAH
Fatimah al-Zahra’, anak perempuan
kesayangan Rasulullaah sallaallaahu ‘alayhi wa sallam, seorang insan
yang amat hampir dengan baginda. Anak seorang VIP yang dipandang mulia,
baik dari sudut pandang siapa ayahnya, mahu pun bonda. Namun Fatimah
membesar dengan watak wanita berpengaruh. Bijaksana, tegas, tahu apa
yang dimahukannya, dan tidak pernah menjadi mangsa status diri. Beliau
bukan anak VIP yang ‘spoilt’! Dia penghulu wanita di Syurga.
klik imej untuk paparan lebih besar
Semasa berbicara tentang perkakas-perkakas benteng diri semasa, timbul sebuah persoalan.
Antara anak gadis yang suka bertanya,
sesekali melawan kata, adakalanya lebih menenangkan kita berbanding
dengan anak gadis yang pendiam, dengar, taat dan patuh namun
pemikirannya tidak pernah kedengaran, tahap cengkaman kepercayaan tidak
sampai ke pengetahuan. Biar pun anak gadis yang ‘baik’ itu mendengar
kata, tetapi kata-kata mereka juga perlu diperdengar dan didengar.
Adakah GADIS SEMASA mempunyai karakter itu?
Lebih menjadi keutamaan, adakah karakter diri mereka kuat?
ERA DAJJAL
GADIS SEMASA adalah gadis yang hidup di era fitnah Dajjal.
Justeru, zaman memerlukan bukan wanita lemah lembut sopan longlai yang ’jinak’.
Kita memerlukan GADIS SEMASA yang pemikirannya tajam. Namun tajamnya tidak sampai meluka!
Kita memerlukan GADIS SEMASA yang pendiriannya teguh. Tetapi keyakinan dan teguhnya dia tidak sampai jadi taassub.
Kita memerlukan GADIS SEMASA yang pembawaannya degil. Tetapi degilnya tidak sampai tidak boleh diajar.
Jati dirinya tepat dengan pertimbangan semasa, di atas neraca Al-Quran, al-Sunnah, serta Fitrah kemanusiaan yang diperkasa.
klikimej untuk paparan lebih besar
Semoga perkongsian ringkas Dhuha itu bermanfaat buat semua, ameen.
Kepada Nisa’, teruskan perjuangan. Jangan lelah.
Tajuk Kuliah Dhuha pagi tadi adalah integriti dan kompetensi kalian.
0 comments:
Post a Comment