Powered by Blogger.

Jul 3, 2012

Hadis-Hadis Tentang Allah Memerhatikan Hamba-Hamba-Nya Pada Malam Nisfu Sya’ban: Penilaian Menurut Neraca Riwayat Dan Dirayah


Rata-rata di kalangan masyarakat Islam, mempercayai bahawa malam nisfu Sya’ban atau malam 15 Sya’ban mempunyai kelebihan yang sangat istimewa dan padanya diputuskan segala qadha` dan qadar. Benarkah begitu? Ulama hadis yang terdahulu seperti al-Bukhari, al-Tirmizi, al-Daruqutni, Abu Hatim, al-Bazzar dan lain-lain telah memutuskan hadis-hadis tentang kelebihan tersebut tidak sahih dan tidak boleh dipertanggungjawab. Walau bagaimanapun sebahagian ulama al-mutakhirin cuba mentashihkan salah satu daripada hadis-hadis tersebut. Hadis tersebut mengenai Allah memerhatikan hamba-hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban.

Antara ulama yang cuba mentashihkannya ialah al-Mubarakpuri dalam Tuhfah al-Ahwazi, (jil. 3, hal. 503-504) menulis bahawa berhubung dengan kelebihan nisfu Sya’ban terdapat beberapa hadis yang menunjukkan bahawa ia mempunyai asal. Sheikh al-Albani dalam kitabnya, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, (jil. 3, hal. 135-139), menyimpulkan bahawa banyaknya jalan bagi hadis ini melebihi dari kadar yang mencukupi untuk mengangkat status sanadnya, daripada dha’if kepada sahih! Al-Albani berpendapat bahawa hadis ini pada asalnya dha’if. Tetapi oleh kerana hadis itu mempunyai banyak jalan maka ia telah dianggap sebagai sahih. Menurut beliau, sanad ini walaupun terdapat perawi yang dha’if namun ia boleh ditampung kerana kedhaifannya itu tidaklah bersangatan.

Artikel ini bertujuan untuk menyoroti kesahihan sanad hadis yang didakwa sebagai sahih berhubung kelebihan malam nisfu Sya’ban. Sejauh manakah kaedah pentashihan yang digunakan oleh ulama yang memutuskannya sebagai sahih itu menepati kaedah riwayah dan dirayah hadis.


Pertama: Riwayat Mu’az bin Jabal

- حدثنا محمد بن أبي زرعة ، نا هشام بن خالد ، نا أبو خليد عتبة بن حماد ، عن الأوزاعي ، وابن ثوبان ، عن أبيه عن مكحول ، عن مالك بن يخامر ، عن معاذ بن جبل قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « يطلع الله على خلقه في ليلة النصف من شعبان ، فيغفر لجميع خلقه ، إلا لمشرك أو مشاحن « لم يرو هذا الحديث عن الأوزاعي ، وابن ثوبان إلا أبو خليد عتبة بن حماد ، تفرد به عن الأوزاعي : هشام بن خالد »

Muhammad bin Abi Zur’ah menceritakan kepada kami katanya, Hisyam bin Khalid menceritakan kepada kami katanya Abu Khulaid ‘Utbah bin Hammad menceritakan kepada kami daripada al-Auza’i dan Ibn Thawban daripada ayahnya daripada Makhul daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin Jabal katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. memerhatikan hamba-hambanya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan semua mereka kecuali orang musyrik atau orang yang suka berbalah.”
(al-Tabarani dalam al-Mujam al-Awsat, no: 6776, jil. 7, hal. 36, Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah Bi Takhrij al-Albani, jil. 1, hal. 264,Sahih Ibn Hibban, no: 5665)

Perawi-perawi hadis Mu’az

1- ‘Utbah bin Hammad

Dalam Tahzib al-Tahzib, jil. 4, hal. 63:

قال أبو حاتم شيخ وقال أبو علي النيسابوري والخطيب ثقة وذكره ابن حبان في الثقات

Abu Hatim mengatakan beliau seorang syaikh (lafaz ta’dil yang rendah). Abu ‘Ali al-Naisaburi dan al-Khatib mengatakan beliau seorang thiqah serta disebutkan oleh Ibn Hibban di dalam Kitab al-Thiqat.

Dalam Taqrib al-Tahzib, Hafiz Ibn Hajar menyimpulkan beliau sebagai seorang yang saduq. (hal. 335)

2- Ibn Thauban

Namanya ialah Abdul Rahman bin Thabit bin Thauban. Al-Zahabi menulis: “Duhaim mengatakan Ibn Thauban thiqah. Ibn Ma’in mengatakan, tidak mengapa dengannya. Abu Hatim mengatakan beliau thiqah. Uthman bin Sa’id meriwayatkan bahawa Ibn Ma’in mengatakan beliau dha’if. Imam Ahmad mengatakan hadis-hadisnya mungkar. Al-Nasa’i mengatakan dia seorang yang bukan kuat dalam hadis. (Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 264). Muhammad bin Ali berkata saya mendengar Ahmad bin Hanbal ditanya tentang Abdul Rahman bin Thabit bin Thauban, bagaimana keadaannya. Beliau menjawab, beliau bukan seorang yang kuat dalam hadis. (Tahzib al-Tahzib, jil. 3, hal. 346)

Hafiz Ibn Hajar menyebutkan, beliau seorang saduq melakukan kesilapan, dituduh berfahaman qadariyyah dan ingatannya berubah di akhir hayat. (Taqrib al-Tahzib, hal. 289)

Berhubung dengan hadis kelebihan malam nisfu Sya’ban ini, Ibn Thauban meriwayatkannya secara tidak tetap, kadang-kadang meriwayatkan daripada Makhul (riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat dan Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah), dan ada kalanya daripada ayahnya daripada Makhul (riwayat al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin dan Ibn Hibban dalam kitab sahihnya). (lihat Dr. Abu al-Laith, al-Marwiyyat Fi Fadhl Lailah al-Nisf, hal. 46-49)

Ibn Abi Hatim berkata, saya bertanya kepada ayah saya tentang hadis yang diriwayatkan oleh Abu Khulaid al-Qari daripada al-Awza’i daripada Makhul - dan daripada Ibn Thauban daripada ayahnya daripada Makhul - daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin Jabal… Ayah saya menjawab: Ini adalah hadis munkar dengan sanad ini, tidak ada yang meriwayatkan dengan sanad ini selain daripada Abu Khulaid dan saya tidak tahu dari mana beliau membawanya. Saya bertanya lagi: “Bagaimana dengan keadaan Abu Khulaid?” beliau menjawab: Seorang syaikh (lafaz ta’dil yang rendah dan boleh ditulis hadisnya untuk i’tibar). (Ibn Abi Hatim, al-‘Ilal, jil. 5, hal. 322-323)

« لم يرو هذا الحديث عن الأوزاعي ، وابن ثوبان إلا أبو خليد عتبة بن حماد ، تفرد به عن الأوزاعي : هشام بن خالد »

Kata al-Tabarani: Hadis ini tidak diriwayatkan daripada al-Awza’i dan Ibn Thauban kecuali Abu Khulaid bin Hammad dan Hisyam bin Khalid pula berseorangan meriwayatkannya daripada al-Awza’i. (al-Mu’jam al-Awsat, jil. 7, hal. 36)

3- Makhul, mufti Dimasyq dan yang paling alim di kalangan ahlinya. Bukan seorang yang mengatakan beliau thiqah. Ibn Sa’d mengatakan, sekumpulan ulama mendhaifkan beliau. Al-Zahabi mengatakan, beliau seorang yang melakukan tadlisdan dituduh menafikan taqdir serta meriwayatkan secara mursal daripada Ubay, ‘Ubadah bin al-Somit, ‘Aishah dan Abu Hurairah. (Mizan al-I’tidal, jil. 6, hal. 509-510)

Al-Hakim mengatakan riwayatnya daripada sahabat adalah melalui perantaraan. (Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith, hal. 111)

Di samping itu, Makhul dan Malik bin Yakhamir tidak pernah bertemu. (Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jil. 3, hal. 135). Ini bermakna sanad ini terputus. Seorang perawi telah gugur antara Malik bin Yukhamir dan Makhul. Tidak dapat diketahui siapakah orangnya, sama ada seorang yang dipercayai atau tidak.

Ringkasnya, sanad riwayat Mu’az terputus di samping terdapat seorang perawi yang dipertikai oleh ulama. Walaupun jalan hadis ini banyak namun madar sanad (paksi bagi sanad) adalah Ibn Thauban dan Makhul. Tambahan pula, Ibn Thauban tidak tetap dalam menyebutkan riwayat ini. dan Makhul sendiri juga ada meriwayatkan daripada Abu Tha’labah. Bagi menjelaskan lagi berlakunya idhtirab dalam hadis ini, lihat apa jawapan tokoh ulama ’Ilal al-Hadith, al-Daruqutni terhadap soalan yang dikemukakan kepadanya tentang hadis Malik bin Yukhamir daripada Mu’az:

“Diriwayatkan daripada Makhul dan terdapat perbezaan periwayatan daripadanya. Abu Khulaid ‘Utbah bin Hammad al-Qari meriwayatkan daripada al-Awza’i, daripada Makhul dan daripada Ibn Thauban daripada ayahnya daripada Makhul daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin Jabal. Demikian kata Hisyam bin Khalid daripada Abu Khulaid.

Sulaiman bin Ahmad al-Wasiti telah menyalahinya. Beliau meriwayatkan hadis ini daripada Abi Khulaid daripada Ibn Thauban daripada ayahnya daripada Khalid bin Mi’dan daripada Kathir bin Murrah daripada Mu’az bin Jabal. Kedua-dua hadis ini tidak mahfuz.

Hadis ini juga diriwayatkan daripada Makhul dengan beberapa riwayat. Kata Hisyam bin al-Gahz daripada Makhul daripada ‘Aishah. Dikatakan juga daripada Ahwas bin Hakim daripada Makhul daripada Abi Tha’labah. Dikatakan juga daripada Makhul daripada Abi Idris secara mursal. Hajjaj bin Artah berkata daripada Makhul daripada Kathir bin Murrah secara mursal. Dikatakan juga daripada Makhul sebagai kata-katanya. Hadis ini tidak sabit (tidak sahih).” (‘Ilal al-Daruqutni, jil. 6, hal. 50-51)


Kedua: Riwayat Abi Tha’labah

أخبرنا أبو طاهر الفقيه ، أخبرنا أبو حامد بن بلال ، حدثنا محمد بن إسماعيل الأحمسي ، حدثنا المحاربي ، عن الأحوص بن حكيم ، عن المهاصر بن حبيب ، عن مكحول ، عن أبي ثعلبة الخشني ، عن النبي صلى الله عليه وسلم ، قال : « إذا كان ليلة النصف من شعبان اطلع الله إلى خلقه فيغفر للمؤمن ، ويملي للكافرين ، ويدع أهل الحقد بحقدهم حتى يدعوه »

Abu Tahir al-Faqih memberitahu kepada kami katanya, Abu Hamid bin Bilal memberitahu kepada kami katanya, Muhammad bin Isma’il al-Ahmasi menceritakan kepada kami katanya, al-Muharibi menceritakan kepada kami daripada al-Ahwas bin Hakim daripada al-Muhasir bin Habib daripada Makhul daripada Abi Tha’labah al-Khusyani daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Apabila malam nisfu Sya’ban Allah memerhatikan hamba-hamba-Nya lalu mengampunkan orang-orang mukmin membiarkan orang kafir dan membiarkan orang-orang yang berdengki dengan kedengkian mereka sehinggalah mereka meninggalkannya. (al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, jil. 3, hal. 381)

حَدَّثَنَا الْحُسَيْنُ بن إِسْحَاقَ التُّسْتَرِيُّ، ثَنَا عَلِيُّ بن بَحْرٍ، ثَنَا عِيسَى بن يُونُسَ، ثَنَا الأَحْوَصُ بن حَكِيمٍ، عَنْ حَبِيبِ بن صُهَيْبٍ، عَنْ أَبِي ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيِّ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:إِنَّ اللَّهَ يَطْلُعُ عَلَى عِبَادِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَيُمْلِي الْكَافِرِينَ وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدْعُوهُ.

Al-Husain bin Ishaq al-Tustari menceritakan kepada kami katanya, ‘Ali bin Bahr menceritakan kepada kami, katanya al-Ahwas menceritakan kepada kami daripada Habib bin Suhaib daripada Abi Tha’labah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t. memerhatikan hambanya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan orang-orang mukmin membiarkan orang kafir dan membiarkan orang-orang yang berdengki dengan kedengkian mereka sehinggalah mereka meninggalkannnya. (al-Tabarani, al-Mu’jam al-Kabir, no: 18038)

1- Al-Ahwas bin Hakim, seorang yang dhaif. Al-Zahabi menulis: Ibn Ma’in mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa nilai. Al-Nasa`i mengatakan dia seorang yang dha’if. Ibn al-Madini mengatakan dia tidak mempunyai apa-apa nilai dan hadisnya tidak boleh ditulis. (Mizan al-I’tidal, jil. 1, hal. 315)

2- Makhul tidak mendengar daripada mana-mana sahabat. Kebanyakan riwayatnya daripada sahabat adalah munqati’.

Al-Daruqutni menyebutkan tentang hadis Habib bin Suhaib daripada Abi Tha’labah, katanya, hadis ini diriwayatkan oleh al-Ahwas dan berlaku perbezaan dalam meriwayatkan daripadanya. ‘Isa bin Yunus meriwayatkannya daripada al-Ahwas daripada Habib bin Suhaib daripada Abi Tha’labah. Makhlad telah menyalahinya dengan meriwayatkannya daripada al-Ahwas daripada Muhasir bin Habib daripada Abi Tha’labah. Al-Daruqutni menyimpulkan bahawa hadis ini mudhtarib dan tidak thabit. (‘Ilal al-Daruqutni, jil. 6, hal. 323)

Dalam sanad al-Baihaqi yang disebutkan di atas ada perantaraan di antara al-Muhasir bin Habib dan Abi Tha’labi iaitu Makhul dan Makhul sendiri tidak pernah mengambil riwayat daripada sahabat. Ini bermakna jalan al-Muhasir juga munqati’.

Jika kita merujuk kembali sanad-sanad hadis Mu’az dan hadis Abi Tha’labah sebenarnya kedua-duanya adalah hadis yang sama kerana berlaku idhtirab (ketidaktetapan) dalam meriwayatkan hadis ini. Sebagaimana Makhul meriwayatkan juga sebagai hadis Mu’az, beliau juga menyebutkannya sebagai hadis Abi Tha’labah.


Ketiga: Riwayat Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash

ثنا حسن ثنا بن لهيعة ثنا حيي بن عبد الله عن أبي عبد الرحمن الحبلي عن عبد الله بن عمرو ان رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : يطلع الله عز وجل إلى خلقة ليلة النصف من شعبان فيغفر لعباده الا لاثنين مشاحن وقاتل نفس

Hasan menceritakan kepada kami katanya, Ibn Lahi’ah menceritakan kepada kami katanya, Huyai bin Abdullah menceritakan kepada kami daripada Abi ‘Abdul Rahman al-Hubali daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah s.aw. bersabda: “Allah s.w.t. memerhatikan hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan hamba-hamba-Nya kecuali dua orang, orang yang suka berbalah dan pembunuh.” (Musnad Ahmad, no: 6642)

Perawi-perawinya:

1- Abdullah bin Lahi’ah

Al-Zahabi menulis: “Ibn Ma’in mengatakan dia seorang yang dha’if dan tidak boleh dijadikan hujah. Al-Humaidi meriwayatkan daripada Yahya bin Sa’id bahawa beliau tidak memandang Ibn Lahi’ah dengan apa-apapun. Ibn Mahdi mengatakan, saya tidak mengambil apa-apa riwayat daripada Ibn Lahi’ah. Dia telah menulis kepada saya sepucuk surat yang tertulis padanya, ‘Amar bin Syu’aib menceritakan kepada kami. Lalu saya membacakannya kepada Ibn al-Mubarak lalu beliau mengemukakan hadis itu kepada saya daripada kitab. Ibn al-Mubarak berkata, Ishaq bin Abi Farwah melaporkan kepada saya daripada ‘Amr bin Syu’aib. Yahya bin Bukair mengatakan, rumah dan kitab-kitab Ibn Lahi’ah terbakar pada tahun 170 H. Imam Ahmad mengatakan, Ibn Lahi’ah sering menulis hadis daripada al-Muthanna bin al-Sabbah (seorang yang dha’if) daripada ‘Amr bin Syu’aib. Kemudian selepas itu dia menceritakan hadis-hadis itu terus daripada ‘Amar (Ibn Lahi’ah melakukan tadlis dengan menggugurkan perawi yang dha’if). Yahya bin Sa’id mengatakan, Bisyr bin al-Sariy menasihati saya, sekiranya kamu menemui Ibn Lahi’ah, janganlah kamu mengambil daripadanya walaupun satu riwayat. Yahya bin Ma’in mengatakan, dia seorang yang lemah sebelum dan selepas terbakar kitab-kitabnya. Abu Zur’ah mengatakan, sama sahaja riwayat-riwayatnya yang terdahulu dan kemudian. Hadis-hadisnya tidak boleh dijadikan hujah. Al-Nasa`i mengatakan dia seorang yang lemah. Abu Zur’ah dan Abu Hatim mengatakan keadaannya tidak tetap tetapi boleh ditulis hadisnya untuk i’tibar. Ibn Hibban mengatakan, saya telah memeriksa riwayat-riwayat Ibn Lahi’ah dalam riwayat orang sebelumnya dan selepasnya lalu saya dapati ada campur aduk dalam orang yang mengambil daripadanya dan banyak hadis yang tidak terdapat dalam riwayat orang sebelumnya. Oleh itu, saya memeriksa jalan-jalan hadis dan saya dapati beliau menyembunyikan kumpulan perawi yang lemah lalu menisbahkan kepada kumpulan perawi yang thiqah. Dengan itu, riwayat-riwayat palsu menyusupi dalam riwayatnya. Dalam satu riwayatnya daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda pada ketika sakitnya: “Panggilkan untukku saudaraku.” Lalu Abu Bakar dipanggil. Tiba-tiba baginda berpaling daripadanya. Kemudian baginda bersabda: “Panggilkan untukku saudaruku.” Kemudian dipanggil Uthman lalu baginda berpaling daripadanya. Kemudian dipanggil ‘Ali. Lalu Rasulullah menyelimutkan ‘Ali dengan selimutnya dan mengadapnya. Apabila ‘Ali keluar daripada Rasulullah s.a.w., orang bertanya: “Apakah yang Rasulullah s.a.w. katakan kepada anda? Ali menjawab: “Baginda mengajar kepada saya seribu bab dan setiap bab membuka seribu bab.”

Ibn ‘Adi mengatakan, riwayat ini direka oleh Ibn Lahi’ah kerana dia seorang pelampau dalam fahaman Syi’ah. Al-Bukhari mengatakan dia seorang yang munkar hadisnya. (lihat Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 167-174)

2- Huyai bin Abdullah al-Ma’afir al-Misri.

Al-Bukhari mengatakan hadisnya dipertikaikan. Al-Nasa`i mengatakan beliau bukan seorang yang kuat. Imam Ahmad sendiri mengatakan hadis-hadisnya mungkar. Ibn ‘Adi pula mengatakan, Ibn Lahi’ah meriwayatkan daripadanya berpuluh hadis yang kebanyakannya mungkar (Mizan al-I’tidal, jil. 2, hal. 401)

Ini bererti dalam sanad hadis ini terdapat dua perawi yang sangat dha’if iaitu Abdullah bin Lahi’ah dan Huyai bin Abdullah.

Sheikh al-Albani menyebutkan Risydin bin Sa’d menjadi mutabi’ kepada Ibn Lahi’ah. (Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jil. 3, hal. 136)

Walau bagaimanapun, mutaba’ah ini tidak dapat memberikan apa-apa faedah kerana Risydin itu seorang yang sangat dha’if.

Imam Ahmad berkata, beliau tidak mempedulikan daripada siapa riwayat diambil. Tetapi tidak mengapa dengan hadisnya dalam bab riqaq (hadis-hadis yang melembutkan hati). Ahmad juga berkata, saya harap dia elok hadisnya. Ibn Ma’in berkata, beliau tidak ada nilai. Abu Zur’ah berkata, beliau seorang yang dha’if. Al-Jawzajani berkata, dia mempunyai banyak hadis munkar. Al-Nasa’i berkata, dia seorang yang matruk. (Mizan al-I’tidal, jil. 3, hal. 75-76 )

Ringkasnya, riwayat ini terdapat dua orang perawi dha’if dan ianya tidak boleh dikuatkan dengan hadis perawi yang lebih lemah lagi daripadanya.


<<  1  2  3  >>

0 comments:

Blog Archive

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP