Powered by Blogger.

Jan 8, 2009

Baguskah minuman tenaga?

Minuman tenaga tidak boleh disamakan dengan minuman isotonik, yang diminum untuk memastikan tahap hidrasi ketika bersukan.


PELBAGAI jenama minuman tenaga kini memenuhi pasaran. Strategi sesetengah jenama yang menyertakan vitamin tertentu dianggap usaha memberi imej positif mengenai kandungannya.


Banyak jenama minuman tenaga diperkenalkan dalam pasaran dan pengambilannya menjadi ikutan di kalangan remaja dan dewasa hari ini.

Namun, ramai yang masih keliru antara fungsi penambah tenaga dengan fungsi isotonik bagi beberapa jenama minuman yang disukai ahli sukan.

Rata-rata jenama minuman tenaga yang popular di pasaran mengandungi sekurang-kurangnya 80 miligram kafein dalam setiap tin.

Kandungan tersebut adalah sama banyak dengan secawan kopi bru dan dua kali ganda kandungan kafein dalam secawan teh.

Namun, ada sesetengah minuman tenaga mengandungi kandungan kafein yang lebih tinggi.

"Fungsi kafein dalam kopi atau teh malah sesetengah minuman berkarbonat memang tidak perlu diperjelaskan.

"Cuma kesan stimulasi akibat mengamalkan minuman tersebut secara berterusan dikhuatiri boleh membawa kepada ketagihan," kata Pakar Pemakanan dan Dietetik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad.

Selalunya, kandungan kafein dalam minuman tenaga ini tidak dijelaskan secara terperinci di labelnya, maka adalah sukar untuk mengagak sebanyak mana yang telah diminum sebenarnya.


MINUMAN tenaga popular di kalangan mereka yang aktif.


Minuman tenaga tidak boleh disamakan dengan minuman isotonik yang diminum bagi memastikan tahap hidrasi ketika bersukan.

Minuman isotonik membekalkan karbohidrat dalam bentuk gula dan elektrolit yang akan disingkir melalui perpeluhan.

Sedangkan, kandungan kafein dalam minuman tenaga bertindak sebagai agen diuretik yang menyebabkan dehidrasi.

"Pengguna perlu memahami bahawa minuman tenaga ini bukan sahaja tinggi kandungan gula, malah sesetengah produk hanya menawarkan ramuan yang berkalori kosong iaitu tidak disertai dengan zat-zat lain," kata Fatimah.

Tambah Fatimah, adalah penting bagi seseorang untuk memahami fungsi gula, elektrolit dan kepentingan zat-zat lain yang diproses dalam tubuh. Beliau tidak menafikan bahawa terdapat minuman tenaga yang mengandungi vitamin tambahan.

Kandungan gula dalam minuman tenaga adalah sumber tenaga pantas. Vitamin B, misalnya, ditambah ke dalam formula minuman ini sebagai strategi pemasaran yang memberikan jenama itu suatu imej minuman yang berkhasiat.

Vitamin B sememangnya diperlukan untuk menukarkan makanan kepada tenaga. Ia bertindak sebagai enzim yang membantu menghadamkan karbohidrat.

Begitupun, kandungan kafein dalam minuman tenaga boleh memberi masalah kepada mereka yang sensitif terhadapnya.

Golongan ini boleh mengalami kegelisahan, jantung berdebar, rengsa, sukar untuk tidur serta masalah penghadaman, walaupun hanya mengambilnya dalam jumlah yang sedikit.


FATIMAH ARSHAD


Apakah yang boleh terjadi jika mereka mengambil minuman tenaga tanpa kawalan?

"Bagi yang bimbang akan kesan stimulasi itu, minuman jenis ini boleh diambil sekali-sekala selain diselangi pengambilan banyak air tambahan.

"Di samping itu, mereka perlu memastikan pengambilan sumber khasiat daripada variasi makanan lain," terang Fatimah.

Namun, menurutnya, golongan pesakit diabetes perlu menghindarkan pengambilan minuman tenaga.

Kandungan gula dan glukosa dalam hidangan minuman tenaga ini boleh meningkatkan paras gula darah seterusnya membahayakan pesakit.

Hakikatnya, ramai golongan konsumer yang masih tidak tahu akan kesan kombinasi kandungan bahan dalam minuman tenaga.

Pada pandangan mereka, bahan lain yang disertakan dalam formula minuman tenaga dipercayai boleh bertindak secara sinergi dengan kafein bagi mencetus daya rangsangan.

Sebagai contoh, pada label sebuah jenama minuman tenaga yang terkenal di negara ini tertera kandungan taurina sejumlah 1,000 miligram.

Sebuah laporan kajian di Jerman mendapati bahawa jumlah darah yang dipam bagi setiap degup jantung meningkat ketara di kalangan mereka yang mengambil minuman gabungan taurina dan kafein.

Ini menunjukkan bahawa taurina memainkan peranan dalam penegangan otot dalam jantung dan juga sistem saraf keseluruhannya.

Selain taurina, minuman tenaga turut mengandungi vitamin B1, B2, B6 dan juga niasin. Ramuan tambahan lain adalah madu, inositol, piridoxin, riboflavin dan tiamin.


KOMBINASI minuman beralkohol dengan minuman tenaga yang begitu popular di bar dan kelab malam bertujuan mengurangkan simptom alkohol bagi yang meminumnya.


Menilai secara keseluruhannya, pakar diet walau bagaimanapun tidak menghalang pengambilan minuman tenaga ini, khususnya di kalangan mereka yang menjalani gaya hidup aktif.

Meminum satu atau dua tin sehari tidak membawa masalah kepada mereka.

"Cuma ia perlu dielakkan pesakit kencing manis manakala mereka yang mempunyai masalah jantung, pengambilan terkawal adalah disyorkan.

"Minuman ini hanyalah alternatif penambah tenaga. Bercakap tentang kalori ataupun tenaga yang diperlukan tubuh, ia masih boleh diperoleh dari banyak pilihan sumber makanan lain," ujar Fatimah.

0 comments:

Blog Archive

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP