Powered by Blogger.

Dec 18, 2011

Amalan pertama manusia dihitung pada hari akhirat

PELIHARA...solat adalah amalan yang mula-mula sekali dihitung pada hari akhirat kelak. 

IMAM Ahmad menyatakan, jarak antara seorang lelaki dengan kekufuran adalah meninggalkan solat. Di dalam riwayat At-Tabrani pula “Siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka dia kafir nyata.” Tidak seperti ibadah lain, Allah memfardukan ibadah solat secara langsung kepada Rasulullah dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Antara kelebihan dan kepentingan solat dalam hidup kita ialah berpeluang berinteraksi dengan Allah.
Solat memelihara serta membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya melalui kemanisan bermunajat dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya.

Seperti yang diajarkan Rasulullah, solat bermula dengan berdiri, rukuk, ‘iktidal, sujud dan berakhir dengan salam.


 Semua itu dilakukan bertujuan membesarkan Allah atas segala nikmat kurniaan kehidupan di dunia ini seperti kesihatan yang baik, zuriat, pasangan suami isteri, ibu bapa dan keluarga.

 Maka perbanyakkanlah berdoa memohon kepada Allah supaya dijauhkan daripada segala bahaya dan tipu daya syaitan.

Solat memberi manusia peluang menggandakan pahala serta menghapuskan segala dosa. Kita perlu mengucapkan rasa kesyukuran tidak terhingga kerana Allah memberikan banyak kelebihan kepada umat Nabi Muhammad yang tidak terdapat pada umat sebelumnya.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: “Bahawasanya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bertanya kepada sahabatnya, adakah kamu percaya bahawa kekotoran masih melekat pada tubuh seseorang yang mandi lima kali sehari dalam sungai yang mengalir di hadapan rumahnya?” Lalu baginda bersabda: Begitulah umpamanya kesan solat yang dikerjakan lima kali sehari. Dengan rahmat Allah ia dapat menghapuskan segala dosa” (Muttafaq Alaih).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam.

Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat 114).

Malah rahsia solat juga tersingkap 1,001 makna kerana ia memberi riadah kepada tubuh badan harian selain memberikan kerehatan jiwa.

Maka solat menjadi salah satu cara merawat kegelisahan dan gundah gulana dalam diri manusia.

Menurut riwayat Ahmad, apabila Rasulullah mengalami satu perkara yang mendukacitakan, Baginda mengatakan: “Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan sembahyang.”

Meninggalkan solat pula menjadikan hati manusia jauh untuk melakukan amal kebaikan malah buruk akhlaknya.

Malah amalan yang mula-mula sekali dihitung pada hari pembalasan kelak ialah solat. Jika sempurna solatnya maka baiklah seluruh amalannya.

Kewajipan menunaikan solat lima kali sehari semalam tidak membataskan manusia walau di mana atau dalam apa juga keadaan sekalipun.

Ia perlu dilaksanakan sama ada dalam keadaan sihat, sakit, dalam peperangan, sedang bermusafir dan tidak mengira golongan sama ada kaya atau miskin.

Solat tidak boleh dipandang ringan dan ia perlu kepada kesabaran dan kekuatan dalaman yang kuat.

Malah seseorang yang inginkan diri mereka sentiasa menjaga serta memelihara solat perlu ada rasa tanggungjawab tinggi untuk melakukan amalan itu hanya kerana Allah.

Tidak boleh sesekali seseorang menggunakan cara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti memakai susuk atau ilmu sihir bagi mendorong mereka ‘rajin’ beribadah.

Pegawai Agama Masjid Putra Nilai, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanafi berkata, bagi mereka yang menggunakan susuk atau sihir bagi menzahirkan kekuatan untuk beribadah boleh membawa implikasi besar terhadap akidah mereka.

“Bahkan, jika tidak dikeluarkan susuk itu daripada tubuh badan, ia akan memudaratkan diri terutama ketika menghadapi saat nazak sakaratulmaut.

“Susuk ialah amalan memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan bagi mendapatkan kelebihan sama ada secara nyata mahupun ghaib.

“Antara jenis susuk yang nyata adalah seperti susuk emas yang paling banyak digunakan untuk ilmu pengasih, susuk geliga buaya untuk tujuan pelacuran, susu beruang untuk ilmu kebal dan susuk buluh perindu untuk memerdukan suara atau menggoda,” katanya.

Beliau berkata, tujuan memakai susuk itu untuk menaikkan seri wajah, hebat dalam hubungan seksual, kebal, pelaris perniagaan dan juga sebagai kekuatan tenaga termasuk mendirikan solat.

“Pantang larang bagi pemakai susuk antaranya mereka tidak boleh memakan pisang emas, buah kundur, labu, makanan bercucuk seperti sate dan tidak boleh melihat cermin dalam tempoh tertentu dan dilarang menghadiri majlis pengebumian atau pergi ke tanah perkuburan.

“Amalan ini masih menjadi amalan segelintir masyarakat disebabkan kedangkalan mereka. Jelas ia membawa syirik kepada Allah,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata, terdapat banyak kes pemakai golongan muda disebabkan ibu atau nenek mereka memaksa memakai susuk sejak kecil bagi tujuan kecantikan.

“Lebih malang, pemakai tidak menyedari terdapat bendasing dalam tubuh mereka sehingga membawa kepada bertahun-tahun lamanya.

“Malah mereka melakukan ibadat seperti solat, puasa dan pergi menunaikan haji dalam keadaan bersusuk,” katanya.

Beliau berkata, hukum mendatangi pengamal atau menggunakan susuk adalah haram.
“Hadis Nabi Muhammad yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi, menilik nasib dan bertemu pawang atau bomoh maka dihukumkan kafir.

“Kedua, menggunakan susuk atau cara amalan yang tidak dipastikan kesahihan ibadat itu sehingga terdengar ada suara ghaib menyuruh seseorang mendirikan solat dan berbuat amal kebajikan disepakati haram.

“Ini berdasarkan tarjih ulama, amalan sesuatu ibadat ini tidak boleh diamalkan sehingga terdapat dalil pengharusan atau membolehkan ibadat dilakukan.
“Masyarakat kita juga sering dibelenggu pengamalan ayat tertentu sehingga didatangi ‘khadam’ atau penjaga.

“Hukumnya tetap haram dan membawa kepada syirik sehingga merosakkan akidah. Terdapat kisah ketua wali sheikh Qadir al-Jailani hampir ditipu iblis yang datang dalam bentuk cahaya gilang gemilang dan memaklumkan kepadanya sudah sampai ke peringkat tertinggi sehingga tidak diwajibkan untuk bersolat.

“Namun ia dihidu Sheikh Qadir dan melemparkan sepatunya dengan menyebut ‘auzubillahi mina syaitonirrojim’ supaya dapat berlindung daripada hasutan iblis yang sering memperdayakan manusia,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata, bagi pesalah yang melakukan amalan khurafat itu, mereka perlulah segera bertaubat dengan sebenar-benarnya.

“Pemakai susuk perlu membuang bahan yang dimasukkan itu ke dalam mana-mana anggota badan. Rawatan ini boleh didapati daripada mana-mana pengamal perubatan alternatif yang diiktiraf dan berpengalaman.

“Akidah pesalah juga perlulah dibimbing semula oleh pembimbing yang diiktiraf seperti dari Jabatan Mufti negeri yang mempunyai bahagian pemantapan akidah yang mampu menjalankan tugas berkenaan.

“Di sinilah hikmah mengapa kita seringkali mengulangi bacaan surah al-Fatihah memohon supaya sentiasa dibimbing ke arah jalan yang lurus,” katanya.




0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP