Powered by Blogger.

Dec 10, 2011

Hadith Dhaif Dalam Buku Imam-Imam Hadith?...Bahagian 2


Alhamdulillah kita dapat bertemu lagi dan menyambung bicara artikel pertama. Saya berharap tulisan bersiri sebegini akan menjadikan saya lebih mudah untuk menghuraikan sesuatu hujah dan juga memudahkan pembaca untuk memberikan tumpuan kepada tajuk-tajuk kecil yang dibicarakan.
Dalam tulisan lepas kita telah melihat sepintas lalu tentang persoalan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penuntut ilmu hadith iaitu – kewujudan hadith-hadith dhaif dalam buku-buku hadith utama yang disusun oleh imam-imam hadith terkemuka.
Begitu juga saya telah cuba senaraikan sebahagian daripada penyelesaian yang biasa ditemui dalam menghuraikan permasalahan ini dalam kalangan pengkaji moden dan penuntut ilmu hadith di mana-mana termasuk di Malaysia. Lalu saya menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan tafsiran-tafsiran atau penyelesaian yang diberikan. Mengapa?

Sebagai permulaan, saya ingin mengajak sekali lagi para pembaca melihat tafsiran yang sering kita temui dalam memahami situasi ini iaitu: Imam-imam hadith melakukan kesilapan kerana mereka manusia biasa. Mereka tidak tahu hadith-hadith itu dhaif dan ia merupakan perkara yang biasa berlaku.
Apa yang saya ingin bicarakan kali ini ialah – dari manakah kita mendapat kepastian bahawa para imam itu tidak tahu hadith-hadith tersebut adalah dhaif? Kenapa tidak kita timbulkan andaian lain bahawa imam-imam itu sebenarnya tahu hadith-hadith itu dhaif?
Mari kita fikirkan bersama berdasarkan satu contoh sahaja untuk artikel ini:
Kedudukan ‘Imam’ dalam Hadith
Dengan melihat kepada biodata dan riwayat kehidupan para imam terdahulu, kita dapati bahawa mereka bukan ahli hadith biasa. Sememangnya terdapat ahli hadith yang biasa dan terdapat pula imam-imam hadith yang berkedudukan lebih tinggi dari ahli hadith yang lain. Kedudukan mereka sebagai imam sebenarnya telah meminimumkan kemungkinan mereka sampai ke tahap melakukan kesilapan mudah iaitu tidak tahu kedhaifan hadith lalu memasukkannya dalam buku-buku utama mereka.
Abu Daud dan Sunan sebagai contoh
Saya ingin mengambil contoh kedudukan Imam Abu Daud (275H) yang merupakan penyusun kitab yang terkenal iaitu Sunan Abu Daud. Sesiapa sahaja yang membaca ulasan para ulama zaman berzaman akan mendapati bahawa di dalam Sunan Abu Daud terdapat hadith-hadith yang sahih dan terdapat juga hadith yang tidak sahih. Bahkan ramai penuntut ilmu hadith tahu bahawa salah seorang ahli hadith moden membahagikan pula buku sunan kepada : Sahih Sunan Abi Daud dan Dhaif Sunan Abi Daud.
Lalu ada di antara penuntut ilmu hadith zaman ini yang berminat lalu bersungguh menganalisis sanad-sanad Sunan Abu Daud untuk mengetahui sebab kedhaifan hadith-hadith tertentu. Maka mereka dengan dibantu oleh buku-buku tertentu dalam profil periwayat dan Jarh Ta’dil seperti Taqrib al-Tahdzib, Tahdzib al-Kamal dan sebagainya telah berjaya menemui kecacatan dalam hadith-hadith Sunan Abu Daud. Mari kita fikirkan bersama beberapa perkara berikut…
 1-     Abu Daud merupakan imam terkemuka dan menjadi rujukan dalam membezakan periwayat antara yang thiqah (diterima dalam meriwayatkan hadith) dan tidak thiqah. Buktinya lihatlah buku-buku yang mengumpulkan penilaian terhadap periwayat-periwayat hadith, kita akan dapati Abu Daud merupakan di antara sumber utama dalam memperolehi penilaian tersebut. Dalam keadaan sebegini, adakah boleh diterima jika dikatakan Abu Daud tidak tahu kecacatan menerusi kedhaifan periwayat sesuatu hadith?
2-     Abu Daud merupakan di antara imam yang menjadi murid kepada imam-imam hadith terkemuka seperti Imam Ahmad Bin Hanbal. Bahkan dia antara murid Ahmad yang menyerlah dan menonjol. Adakah murid yang sebegini hebat tidak tahu hadith di dalam bukunya adalah dhaif? Bahkan Imam Ahmad pernah ditunjukkan kepadanya buku Sunan oleh Abu Daud sendiri lalu Imam Ahmad berkata : Ini adalah sebuah buku yang baik. Adakah masuk akal Imam Ahmad memuji sebuah buku yang bercampur di dalamnya hadith sahih dan tidak sahih begitu sahaja?
3-     Sekiranya seorang ahli hadith moden bahkan seorang penuntut ilmu hadith yang masih baru dalam pengajian pun boleh mengenal pasti ‘kecacatan’ dalam sanad-sanad hadith Sunan Abu Daud, mengapa pula Abu Daud, seorang imam dan rujukan dalam penilaian hadith tidak dapat menemui kedhaifan hadith tersebut? Adakah ia terlalu ‘tersembunyi’ kepada seorang imam, dan terlalu ‘mudah’ bagi seorang penuntut dan pelajar?
4-     Bagi yang membaca Sunan Abu Daud, pasti akan bertemu dengan hadith-hadith yang dinilai sendiri kedhaifannya oleh Abu Daud. Malah penilaiannya merupakan penilaian yang menunjukkan kehebatan beliau. Adakah beliau tidak dapat menilai hadith-hadith lain?
5-     Kita patut tahu bahawa Abu Daud pernah menceritakan dalam sebuah suratnya (yang kini dicetak sebagai sebuah buku) kepada ahli ilmu di Mekah tentang teknik dan kaedah beliau menyusun buku Sunan. Di dalamnya dengan jelas disebut bahawa beliau tahu ada hadith yang dhaif di dalam bukunya dan ada yang diletakkannya tanpa ulasan. Adakah ini sama dengan anggapan sebahagian peminat ilmu hadith bahawa Abu Daud tidak tahu kedhaifan hadith tertentu?
6-     Paling penting, kita perlu tahu bahawa tujuan Abu Daud menyusun Sunan bukanlah sama seperti tujuan al-Bukhari menyusun bukunya al-Jami’ al-Sahih (mengumpulkan hadith-hadith sahih). Tujuannya ialah mengumpulkan hadith-hadith yang digunakan ahli fiqh dalam mengeluarkan hukum. Maka inilah yang menimbulkan salah faham dalam kalangan sebahagian kita bahawa imam-imam ini tidak tahu hadith tertentu dhaif lalu menyebutkannya dalam buku-buku utama. Rupanya kita tidak tahu tujuan utama setiap buku disusun.
Insya Allah, kita akan bersama melihat contoh-contoh lain dalam memahami mengapa ada hadith-hadith dhaif dalam buku imam-imam hadith terkemuka. Tulisan kali ini sebenarnya ingin mengajak para pembaca berfikir tentang kedudukan ‘imam’ yang dimiliki oleh penyusun buku-buku hadith terdahulu. Adakah ‘imam’ tidak dapat menemui kedhaifan hadith yang ditemui oleh seorang ‘ma’mum’?


Adlan Abd. Aziz

0 comments:

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP