Bertaqlid Dengan Mazhab Maliki Dalam Perkara Wudhu Ketika Mengerjakan Tawaf
Soalan:
Bagaimanakah cara berwudhu yang sebaik-baiknya sewaktu melakukan tawaf
haji atau umrah bagi mengelakkan berulang-ulang mengambil wudhu kerana
keadaan sekeliling Ka’bah yang sentiasa bersesak-sesak dan ramai? Adakah
sebarang rukhshah mengenainya atau dibolehkan bertaqlid kepada mazhab
lain?
Jawapan:
الحمد لله حمدا يوافى نعمه ويكافئ مزيده ، يا ربنا لك الحمد كما ينبغى
لجلال وجهك وعظيم سلطانك ، اللهم صل وسلم على سيدنا ومولانا محمد وعلى آل
سيدنا محمد صلاة تحيينا بها حياة طيبة ترضاها وتجعلنا بها هداة مهديين غير
ضآلين ولا مضلين، وبعد
Masalah batal wudhu ketika tawaf kerana tersentuh kulit antara lelaki
dan perempuan bukan mahram adalah isu yang sering kali ditimbulkan oleh
para jemah haji atau umrah. Perkara ini menjadi rungutan sebilangan
jemaah khususnya lelaki terutama pada musim haji atau pada bulan
ramadhan kerana ia sangat sukar dielakkan.
Mengikut al-qaul al-azhar dalam mazhab asy-Syafi’e bersentuhan kulit
antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram merupakan antara
perkara-perkara yang membatalkan wudhu kedua-dua pihak sama ada yang
disentuh atau yang menyentuh. Maka sebagai langkah ke arah itu orang
yang tawaf hendaklah berusaha supaya tidak menyentuh orang yang boleh
membatalkan wudhu, kerana menurut al-qaul al-muqabil li al-azhar wudhu
orang yang menyentuh sahaja yang batal sementara orang yang disentuh itu
tidak batal wudhunya.
Maka dalam permasalahan tawaf yang menyebabkan kesulitan kepada para
jemaah untuk mengambil wudhu kerana kepadatan yang amat sangat di
kawasan tawaf itu, maka bolehlah beramal dengan qaul yang mengatakan
tidak batal wudhu orang yang disentuh sebagai jalan masyaqqah atau
kesulitan kerana terpaksa mengambil wudhu berulang-ulang kali jika
beramal dengan qaul yang azhar.
Bahkan jika secara amalinya pendapat berkenaan itu pun susah juga untuk
diamalkan, maka dalam hal ini adalah diharuskan bagi jemaah bertaqlid
dengan mazhab Imam Malik yang mengatakan tidak batal jika bersentuh
antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa diiringi nafsu
syahwat.
Akan tetapi perlu difahami bahawa keharusan bertaqlid dengan
mazhab-mazhab lain itu terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi
supaya perkara yang ditaqlidkan itu sah dan boleh damalkan.
Jika seorang yang bermazhab Syafi’e bertaqlid dengan mazhab Imam Malik,
maka terlebih dahulu hendaklah dia mengetahui perkara-perkara yang
hendak ditaqlidkan itu. Umpamanya jika bertaqlid dalam perkara tidak
membatalkan wudhu jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan, maka
hendaklah dia mengetahui syarat-syarat sah wudhu dan mengamalkan
perkara-perkara wajib dalam wudhu yang terdapat dalam mazhab Imam Malik
seperti yang akan dihuraikan kemudian, baharulah bertaqlid dalam perkara
yang tidak membatalkan wudhu iaitu dalam perkara bersentuh dengan
wanita bukan mahram tanpa syahwat.
Oleh yang demikian secara terperinci dijelaskan, bagi jemaah yang hendak
mengikut mazhab Maliki dalam perkara ini hendaklah dia mengambil wudhu
sebagaimana cara berwudhu dalam mazhab Maliki iaitu:
1. Niat.
2. Membasuh muka.
3. Membasuh dua tangan serta dua siku.
4. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas
dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara
mata dan telinga).
5. Membasuh dua kaki serta dua buku lali.
6. Berturut-turut dengan tidak berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota wudhu yang dibasuh.
7. Menggosok atau menyental dengan tapak tangan anggota-anggota wudhu yang dibasuh.
Perlu diingat, ketika membasuh dan menyapu anggota wudhu hendaklah
dilakukan berturut-turut tanpa bertangguh dari satu anggota ke satu
anggota yang lain dan menggosok atau menyental dengan tapak tangan
setiap anggota wudhu. Perbuatan ini menjadi tuntutan kerana termasuk di
dalam fardhu atau rukun wudhu dalam mazhab Maliki.
Sementara perkara-perkara yang membatalkan wudhu dalam mazhab Maliki adalah seperti berikut:
1. Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubul (kemaluan) dan dubur,
iaitu air kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah
istihadhah, tahi, dan angin.
2. Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab
tidur yang lena. Antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang
tidur itu tidak lagi mendengar suara di sekelilingnya, mengalir air
liur daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu daripada genggamannya.
3. Apabila seorang yang baligh menyentuh lawan sejenis (antara lelaki
dan perempuan) dengan perasaan nikmat (syahwat). Adapun mengucup pada
mulut juga membatalkan wudhu walaupun tanpa perasan nikmat.
4. Apabila seorang lelaki baligh menyentuh kemaluannya dengan tapak
tangannya tanpa berlapik. Tetapi tidak membatalkan wudhu seorang
perempuan yang menyentuh kemaluannya (farj).
5. Murtad.
6. Merasa ragu setelah berwudhu adakah masih suci atau sudah batal.
Sehubungan dengan ini kita sarankan pihak yang bertanggungjawab dalam
urusan haji sewajarnyalah menyampaikan maklumat di atas kepada jemaah
haji supaya pengetahuan jemaah tentang bertaqlid dengan mazhab lain
dalam masalah wudhu ketika tawaf akan lebih jelas dan sempurna dilakukan
mengikut sebagaimana yang dikehendaki dalam mazhab berkenaan. Dengan
demikian tidaklah bertaqlid dalam perkara wudhu itu dilakukan dengan
sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang betul.
والله أعلم بالصواب
Negara asal : Brunei darussalam
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid
Tarikh Diisu : 2004
Nota: Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam
Sumber ( + )
0 comments:
Post a Comment