Bagi
yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak, tentu banyak pengalaman
dengan anak-anak bukan? Dalam keadaan apa sekali pun, asyik diajak kita
untuk bermain. Kadang-kadang tengah-tengah malam jam 2 atau 3 pagi pun
diajaknya kita bermain jika dia terbangun pada waktu itu. Memang
seronok bermain dengan anak-anak. Melihatnya tertawa sudah cukup
membahagiakan hati kita, walaupun dalam keadaan kita penat sekali pun.
Itulah anak-anak…
Pernah
atau tidak anda diajak bermain ketika anda sedang bersolat? Tentu
pernah kan? Ia pengalaman yang biasa dialami oleh ibubapa.
Kadang-kadang dipanjatnya badan kita, dimasuknya celah kangkang kita,
dijoloknya lubang hidung kita, ditariknya baju kita, dicabutnya kopiah
kita, diduduknya atas riba kita dan macam-macam lagi.
Ada
yang kadang-kadang tu, dia tak kacau kita, tapi dia bermain dengan
sesuatu yang boleh membahayakannya. Contohnya bermain dengan suis
elektrik, ditarik-tarik baju pada penyangkut baju, dimainnya daun pintu,
dimainnya depan bilik air yang lantainya agak lembab dan macam-macam
lagi. Tentu hati kita tidak khusyuk jika mengetahui anak kita sedang
terdedah dengan bahaya bukan?
Itulah antara pengalaman saya dengan anak-anak. Saya sudah mempunyai 4 orang anak. Masing-masing mereka dengan skill
masing-masing ‘berseronok’ dengan abahnya ketika abahnya sedang solat.
Hendak buat macam mana, mereka masih anak-anak kecil. Saya teruskan
sahaja solat tapi dengan meraikan anak kecil dan berwaspada terhadap
keselamatan mereka. Saya percaya tuan/puan juga mempunyai pengalaman
yang hampir serupa.
Seharusnya
perasaan kasih sayang dan perasaan ingin melindungi anak-anak sentiasa
ada dalam diri ibubapa walaupun ketika kita sedang bersolat.
Anak Panjat Badan Ketika Solat
Tulisan
ini sebenarnya dihasilkan apabila saya dikongsikan dengan video ini
oleh beberapa rakan. Bagi saya, ia adalah contoh yang tidak sepatutnya dibuat oleh ibubapa yang sedang bersolat apabila anak kecil mereka datang bermain atau memanjat badan mereka:
Tahniah
buat si bapa di dalam video ini atas kesabaran beliau. NAMUN, cara di
atas boleh mengundang bahaya dan berikut adalah komen saya terhadap inti
video di atas:
1.
Sebaik-baiknya si bapa di dalam video itu cuba untuk menurunkan anak
kecilnya itu dengan berhati-hati. Pergerakan di dalam solat untuk
mengelakkan bahaya pada anak kecil dibenarkan.
2.
Di dalam video itu juga kelihatan si anak kecil itu memanjat tubuh
bapa kesayangannya yang sedang sujud. Dalam situasi ini, si bapa
sebaik-baiknya jangan terus bangun. Berikan sedikit masa buat anak
kecilnya itu bermain sebentar di atas tubuh bapanya. Rasulullah
sallAllahu `alaihi wasallam pernah sujud lama kerana cucunya duduk di
atas belakang Baginda semasa Baginda sedang sujud. Hadithnya saya akan
berikan di bawah.
3.
Jika ingin bangun juga dari sujud kerana si anak kecil terlalu lama
atau kerana si bapa mempunyai hajat lain selepas solat, maka
sebaik-baiknya si bapa bangunlah perlahan-lahan dan menurunkan anak
kecilnya ke lantai dengan selamat dan berhati-hati. Perbuatan si bapa
yang terus bangun boleh membahayakan si anak kecil itu.
4. Saya berasa suspen apabila melihat si anak kecil berada di atas bahu si bapa dalam video di atas. Dan semakin suspen apabila si bapa tidak berbuat apa-apa untuk mengurangkan risiko si anak kecilnya itu dari terjatuh. Dan perasaan suspen
itu semakin meningkat apabila si bapa dari keadaan berdiri turun untuk
rukuk dan sujud dalam keadaan anak kecil beliau masih di atas bahunya
tanpa dipegang. Ini sangat-sangat bahaya! Sebaik-baiknya si bapa itu
ambil anaknya yang berada di atas bahu lalu turunkan ke bawah. Jika
tidak mahu turunkan ke bahu, bolehlah mendokong anak kecil itu. Cara
begitu lebih selamat. Dan sekali lagi saya sebutkan,
perbuatan-perbuatan begini tidak membatalkan solat kerana ia termasuk
dalam hal dibenarkan iaitu untuk mengelakkan bahaya kepada si anak kecil
tersebut.
*Saya
terdorong untuk memberi komen di dalam blog ini tentang video di atas
kerana saya membaca ramai memuji perbuatan si bapa yang terus ‘khusyuk’
tidak mempedulikan si anak kecilnya. Saya risau perbuatan sebegini
ditiru dan dijadikan contoh. Sedangkan dalam Islam terdapat contoh dan
tauladan yang lebih jitu, tulen dan terbaik untuk kita ikuti, iaitu
contoh dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.
Bagaimana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam Lakukan?
Berikut
saya kongsikan beberapa hadith yang menceritakan bagaimana keadaan Nabi
sallAllahu `alaihi wasallam berinteraksi dengan situasi-situasi yang
mendesak Baginda untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang asing dari
pergerakan-pergerakan solat:
1. Daripada Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma katanya:
“Bahawa
Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pada waktu solat pernah juga menoleh
ke kanan atau ke kiri, tetapi tidak sampai menoleh ke belakang.” (HR
Ahmad)
2. Imam Abu Daud meriwayatkan:
“Rasulullah
sallAllahu `alaihi wasallam ketika solat menoleh ke arah jalan di kaki
bukit.” Katanya Baginda sallAllahu `alaihi wasallam menoleh kerana
memerhatikan seseorang yang berkuda yang ditugaskan untuk menjaga dan
mengawal malam. (HR Ahmad)
Daripada
hadith 1 dan 2 di atas, dapat kita mengambil iktibar bahawa
diperbolehkan buat kita untuk melihat ke kanan atau ke kiri bagi
memerhatikan keselamatan anak kecil kesayangan kita.
3. Daripada Abu Hurairah radhiAllahu `anhu katanya telah bersabda Nabi sallAllahu `alaihi wasallam:
“Bunuhlah dalam solat dua binatang hitam, yakni ular dan kala jengking.” (Hadith Hasan riwayat Ashabus Sunan)
Hadith
3 di atas ini dapat diambil pengajaran bahawa kita dibenarkan untuk
melakukan perbuatan yang asing dari pergerakan solat bagi membunuh
binatang yang boleh membawa mudharat kepada orang lain.
Dalam
kes anak kecil, sekiranya anak kita kelihatan sedang bermain dengan
benda yang berbahaya seperti seterika panas, suis elektrik atau
lain-lain yang mempunyai risiko yang tinggi akan membahayakannya, maka
kita dibenarkan untuk bergerak bagi menjauhkan anak kecil itu dari
bahaya.
4. Daripada `A’ishah radhiAllahu `anha katanya:
“Rasulullah
sallAllahu `alaihi wasallam sedang solat di rumah dan pintu terkunci
dari dalam, lalu saya datang dan meminta agar dibukakan pintu. Baginda
berjalan membuka pintu untuk aku lalu kembali menyambung solatnya.”
Katanya, pintu ketika itu berada di arah qiblat. (HR Abu Daud, Nasa’i,
Tirmidzi dan Ahmad)
Lihat
situasi dalam hadith ke-4 ini. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam
bergerak untuk membuka pintu, sedangkan risikonya tidaklah lebih tinggi
dari situasi dalam hadith ke-3 di atas. Ini menunjukkan bahawa
pergerakan di dalam solat untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang
terdapat padanya kepentingan adalah dibenarkan. Tetapi dengan syarat,
dada hendaklah jangan terpaling dari arah qiblat. Dada seseorang yang
sedang solat mesti sentiasa ke arah qiblat.
5. Daripada Abu Qatadah katanya:
“Bahawa
Nabi sallAllahu `alaihi wasallam solat, sedang cucunya Umamah puteri
Zainab (iaitu anak perempuan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam) berada di
atas belakangnya. Apabila nabi sallAllahu `alaihi wasallam rukuk,
diletakkan cucunya itu. Dan apabila Baginda berdiri daripada sujud,
diambilnya pula dan diletakkannya kembali di atas belakangnya semula.”
Kata Amir:
“Saya
tidak menanyakan solat apa yang dilakukan ketika itu.” Sebaliknya Ibnu
Juraij berkata: ”Saya diberitahu oleh Zaid bin Abu I`tab daripada
`Umar bin Sulaim, bahawa itu adalah solat Subuh.” (HR Ahmad dan
Nasa’i)
6. Daripada Abdullah bin Syidad daripada ayahnya katanya:
“Pada
suatu ketika Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam keluar untuk solat
siang, Zuhur atau Asar. Baginda membawa cucunya, Hasan dan Husein, lalu
maju ke hadapan dan cucunya itu diletakkannya, kemudian mengangkat
takbir (untuk solat). Seterusnya, Baginda pun sujud dan sujud itu
sangat lama sekali hingga aku terangkat kepalaku.
Rupa-rupanya aku
lihat cucu Baginda itu berada di atas belakang Rasulullah sallAllahu
`alaihi wasallam, maka aku pun kembali sujud.
Setelah
selesai solat, para jemaah di belakang bertanya: ”Ya Rasulullah, tadi
sangat lama sekali anda sujud hingga kami sangka telah berlaku sesuatu
atau mungkin wahyu sedang diturunkan.”
Ujar
Baginda sallAllahu `alaihi wasallam: Semua itu tidak berlaku melainkan
ketika itu cucuku ini berada di atas belakangku dan aku tidak mahu
mengganggunya hingga dia merasa puas bermain.” (HR Ahmad, Nasa’i dan
Hakim)
Daripada
hadith ke-5 dan ke-6 di atas, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah
menunjukkan kepada kita akan akhlaq yang sangat mulia dan tinggi dengan
kanak-kanak. Betapa Baginda meraikan dan menyayangi anak-anak kecil.
Sehingga di dalam solat pun Baginda meraikan telatah mereka.
Nah,
itulah antara apa yang sempat saya kongsikan dan respon bagi
menunjukkan kepada para pembaca sekalian betapa Islam ini agama yang
penuh dengan rahmat. Turunnya Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam
adalah untuk memberikan rahmat ke seluruh alam. Dan apa yang
ditunjukkan Nabi dalam semua kehidupannya wajar kita contohi semuanya
supaya rahmat itu tersebar hingga Hari Kiamat.
Hadith-hadith
di atas telah saya petik dari buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat tulisan
Ustadz Abdul Rahman Mohamed yang diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd.
Sejak saya miliki buku tersebut sekitar tahun 2006 atau 2007, saya
lebih mudah faham kerana di dalamnya penuh dengan ilustrasi dan
penerangan yang berdalilkan hadith Nabi. Sebelum ini, hanya dengar
melalui hadith dan ceramah umum sahaja tentang perihal pergerakan asing
Nabi dalam solat, agak sukar hendak membayangkannya. Jika kalian
menjumpai buku ini, belilah! Ia sangat bermanfaat dalam mengalih
paradigma.
Ingat,
pergerakan-pergerakan asing yang tidak ada kena mengena di dalam solat
yang disebutkan di atas bukanlah untuk dilakukan sewenang-wenangnya. Ia
dilakukan apabila ada hajat dan kepentingan terutama jika melibatkan
perkara yang merbahaya. Dan fokus tulisan ini lebih kepada interaksi
dengan anak-anak ketika kita sedang solat.
Semoga catitan ini bisa memberikan manfaat, mudah-mudahan.
Selamat menjadi ibubapa yang penyayang sebagaimana penyayangnya Nabi sallAllahu `alaihi wasallam
ALLAHU A`LAM.
Sekadar berkongsi.
Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
0 comments:
Post a Comment