Sebab Wurud Hadis Tentang Sucinya Air Laut Dan Halalnya Bangkai Laut
Muhammad Hanief Awang Yahaya
عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ - رضي الله عنه - قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ - صلى
الله عليه وسلم - فِي اَلْبَحْرِ: - هُوَ اَلطَّهُورُ مَاؤُهُ, اَلْحِلُّ
مَيْتَتُهُ - أَخْرَجَهُ اَلْأَرْبَعَةُ, وَابْنُ أَبِي شَيْبَةَ
وَاللَّفْظُ لَهُ, وَصَحَّحَهُ اِبْنُ خُزَيْمَةَ وَاَلتِّرْمِذِيُّ ورواه مالك والشافعي وأحمد .
Diriwayatkan
daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda tentang laut:
Ia sangat menyucikan airnya, halal bangkainya.
Dikeluarkan oleh al-Arba’ah (imam-imam yang empat), Ibn Abi Shaybah dan ini lafaznya dan disahihkan oleh Ibn Khuzaymah, al-Tirmidhi. Juga diriwayatkan oleh Malik, al-Shafi’i dan Ahmad.
Hadis
ini merupakan jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh sahabat yang
belayar di laut seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam kitabnya
al-Muwatta`.
عن
مالك عن صفوان بن سليم عن سعيد بن سلمة من آل بني الأزرق عن المغيرة بن
أبي بردة وهو من بني عبد الدار أنه سمع أبا هريرة يقول جاء رجل إلى رسول
الله صلى الله عليه و سلم فقال :يا رسول الله إنا نركب البحر ونحمل معنا
القليل من الماء فإن توضأنا به عطشنا أفنتوضأ به فقال رسول الله صلى الله
عليه و سلم هو الطهور ماؤه الحل ميتته
Diriwayatkan
daripada Malik daripada Safwan bin Sulaim daripada Sa’id bin Salamah,
dari keluarga Bani Azraq daripada Mughirah bin Abi Burdah, dan dia
seorang Bani ‘Abd al-Dar bahawa beliau mendengar Abu Hurairah berkata:
“Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w. seraya berkata:
Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami belayar di laut dan membawa sedikit
air. Jika kami berwudhu` dengannya maka kami akan kehausan. Bolehkah
kami berwudu` dengan air laut? Rasulullah s.a.w. menjawab: Ia sangat
menyucikan airnya, halal bangkainya.
Pertanyaan Sahabat
Ulama
berbeza pendapat tentang mengapa sahabat ini mengalami kemusyilan
tentang kesucian air laut. Al-Syaukani menyebutkan bahawa setengah ulama
menyatakan puncanya ialah kerana sebuah hadis:
لَا
يَرْكَبُ الْبَحْرَ إِلَّا حَاجٌّ أَوْ مُعْتَمِرٌ أَوْ غَازٍ فِي سَبِيلِ
اللَّهِ فَإِنَّ تَحْتَ الْبَحْرِ نَارًا وَتَحْتَ النَّارِ بَحْرًا
Janganlah
kamu belayar di lautan kecuali kerana haji, umrah atau berperang di
jalan Allah kerana di bawah laut itu api dan di bawah api itu laut. (Abu Dawud, Kitab al-Jihad Bab Fi Rukub al-Bahr Fi al-Ghazw)
Bagaimanapun hadis ini dha’if tidak boleh dijadikan hujah.
Atau kemusykilan ini timbul kerana sifat laut yang disebutkan oleh al-Qur`an dalam surah al-Tur, ayat 6.
وَالْبَحْرِ الْمَسْجُورِ
Dan demi laut yang penuh tepu (dengan kepanasan); - dinyalakan sebagai api neraka pada hari qiyamat.
Atau kerana ayat 6 surah al-Takwir menyatakan
وَإِذَا الْبِحَارُ سُجِّرَتْ
Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;
Sebenarnya keadaan yang disebutkan oleh ayat-ayat di atas ialah ketika berlaku qiamat bukan pada masa sekarang ini.
Atau kerana bangkai mati di dalamnya dan kemungkinan jua sampah dan kotoran dibuang ke dalamnya terutamanya di pantai.
Atau
kerana sifat air laut rasanya masin yang berlainan daripada air lain
yang rasanya manis atau tawar, sifat masin itu mewahamkan sifat
mutlaknya hilang.
Kesemuanya andai-andaian ini dihilangkan oleh jawapan baginda yang ringkas tetapi mengandungi ma’na yang padat.
Huraian Hadis
Air laut boleh digunakan untuk bersuci kerana ia suci lagi menyucikan. Lafaz طَهور merupakan sighah musyabbihah
yang menunjukkan makna kuat dan penekanan. Ia tidak hanya suci pada
diri tetapi dapat menyucikan benda lain. Tidak terkeluar daripada sifat
sucinya dalam apa keadaan sekalipun kerana kuantitinya yang banyak.
Rasulullah
s.a.w. tidak hanya menjelaskan hukum air laut tetapi menambahkan ilmu
tentang perkara lain iaitu bangkai binatang laut dikira sebagai halal
tidak perlu disembelih untuk dimakannya.
Faedah
Mengapa
baginda ditanya tentang bolehkah berwudhu` dengan air laut dan baginda
tidak menjawab dengan menyuruh berwudhu` tetapi terus menyatakan hukum
dan sifat air laut.
Sekiranya
baginda menjawab ya sahaja, akan timbul andaian, keharusan itu hanya
ketika darurat bimbang ketiadaan air minuman dan ketiadaan pilihan yang
lain.
Jawapan
baginda dengan lafaz yang menyatakan hukum, iaitu sucinya itu adalah
umum supaya merangkumi segala jenis taharah yang diperlukan selain
daripada wudhu` seperti mandi, membasuh dan sebagainya. Di samping tidak
khusus kepada orang musafir sahaja tetapi harus juga kepada orang yang
bermuqim.
Faedah
Ulama berbeza pendapat tentang sebab mengapa Rasulullah s.a.w. menjawab lebih daripada yang ditanya.
Jawapan
tambahan iaitu menyatakan faedah laut dari segi dunaiwi. Keberkatan air
laut bukan setakat boleh dijadikan bahan bersuci tetapi bangkainya juga
dikira halal.
Mereka
bukan sahaja mengalami kekurangan air tetapi berkemungkinan juga
mengalami kekurangan makanan. Maka pada ketika itu makanan laut boleh
dijadikan bekalan.
Menghilangkan
tanggapan yang mungkin timbul kerana menyangka air laut itu tidak boleh
bersuci dengannya kerana binatang mati di dalamnya. Jawapan ini
merupakan penegasan tentang hukum sucinya air. Ini bererti bukan sahaja
air laut suci malah bangkainya itu halal.
Pengajaran Hadis
- Hadis ini sangat penting dalam kitab taharah sehingga Imam al-Syafi’i berkata: Hadis merupakan asas kepada ilmu taharah.
- Harus
bersuci dengan air laut. Sifat masinnya adalah sifat asalnya. Rasa
masinnya itu bukan kerana perubahan yang disebabkan bangkai yang ada di
dalamnya.
- Air
laut boleh digunakan untuk mengangkat hadas kecil, hadas besar,
menyucikan najis yang terkena pada tubuh, pakaian atau tempat.
- Hadis
ini menunjukkan sifat rahmat Rasulullah s.a.w. dalam menjawab
pertanyaan dengan memberikan jawapan lebih daripada apa yang ditanya
kerana maklumat tambahan itu akan lebih memberi manfaat kepada orang
yang bertanya.
- Dianjurkan
kepada ulama untuk memberikan jawapan yang memuaskan dan mengaitkannya
dengan fakta-fakta lain yang berguna seperti alasan dalil-dalil, sebab
hukum, cara memahami dalil dan sebagainya yang dapat menambahkan lagi
ilmu orang yang bertanya.
- Harus menggunakan kenderaan air dan galakan untuk memanfaatkan sumber laut. (sila rujuk ayat Yunus: 22, al-Maidah: 95, Ibrahim: 32 dan al-Nahl: 14)
- Pandangan
seorang muslim bukan hanya terbatas hukum sahaja tetapi merangkumi
pandangan untuk memanfaat segala kurniaan Allah s.w.t. (al-Baqarah: 29)
- Bangkai laut seperti ikan, ketam, udang dan lain-lain harus dimakan.
0 comments:
Post a Comment