Powered by Blogger.

Nov 29, 2008

Berbakti kepada ibu bapa diberi ganjaran besar

Pengorbanan membesarkan, kasih sayang kepada anak tidak mungkin dapat dibalas

IBU bapa adalah sepasang insan yang paling istimewa dalam kehidupan kerana tanpa mereka, tidak adalah kita di dunia ini. Kedua mereka sanggup berkorban segala-galanya demi melihat kebahagiaan dan kesejahteraan kita.

Jasa serta pengorbanan mereka terlalu besar dan mustahil dapat seseorang anak itu untuk membalas atau membayarnya. Justeru, seseorang anak wajib menghormati serta mentaati mereka.

Menjaga dan memelihara semasa mereka tua adalah sesuatu amal yang sangat besar pahalanya di sisi Allah SWT. Kisah diriwayatkan pada zaman Nabi Sulaiman sewajarnya menjadi renungan untuk kesejahteraan dan keberkatan hidup di dunia ini,

Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana di antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin supaya tenang dan tenang pula samudera itu.



Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah daripada permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan. "Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah SWT, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya Baginda melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.

"Siapakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan. "Aku adalah manusia," jawab pemuda itu perlahan. "Bagaimana engkau boleh memperoleh karomah semacam ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Pemuda itu menceritakan riwayatnya hingga memperoleh karomah dari Allah SWT boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.

Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan mengendongnya ke mana juga dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya.

Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.

"Setelah ibuku wafat aku berkeliling di pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah kubah diperbuat daripada permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya," tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman kagum terhadap pemuda itu. "Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman.

"Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah SWT tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah," kata pemuda itu.

Nabi Sulaiman bertanya lagi, "Bagaimana Allah memberi makan kepadamu? Jawab pemuda itu: "Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."

"Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?" tanya Nabi Sulaiman yang berasa semakin hairan. Kata pemuda itu, "Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam."

Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

Demikianlah berkat dan mulia hidup seseorang anak yang berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya.

Jangan abaikan mereka walaupun kita kini sudah besar dan berjaya dalam kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sembahlah Allah, jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dan dengan kedua-dua orang tua (kamu) hendaklah berbuat baik." (Surah an-Nisa, ayat 36).

Manakala dalam surah al-Israk, ayat 23, Allah berfirman yang bermaksud: "Bilamana seorang daripada mereka atau kedua-duanya sudah mencapai usia tua di sisi kamu,
janganlah kamu katakan kepada mereka perkataan 'uh' dan janganlah kamu mengherdik mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah sayap kamu bagi mereka (merendah diri) sebagai tanda kasih sayang."



Read more...

Mengerjakan Ibadah Korban Menurut Sunnah Rasulullah SAW

MENGERJAKAN IBADAH KORBAN MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh ALLAH. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima ALLAH.


Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana ALLAH dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w.

Firman ALLAH S.W.T:

"DIAlah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." - Surah al-Mulk: 2.

Oleh itu, sewajarnya dalam melaksanakan ibadah korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya mencontohi sunnah-sunnah Nabi s.a.w seperti berikut:

1. Waktu perlaksanaan ibadah korban.

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat hari raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu tiga hari selepas solat hari raya Aidiladha. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.

Imam Syafie r.h berkata:

"Waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha…Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Dzulhijjah), tidak boleh lagi menyembelih korban." – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm fi al-Fiqh karya Imam Syafie, edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, Jakarta (2004), jil. 1, m.s. 737.

Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَّهْلِهِ لَيْسَ مِنْ النُّسُكِ فِي شَيْء



Maksudnya:"Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Oleh itu, sesiapa yang melakukan sebegitu dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah) bukan termasuk binatang korban." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1961

Sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَلْيُعِدْ

Maksudnya:
"Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), dia hendaklah mengulanginya." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5561.

Sabda Rasulullah s.a.w:




كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبْحٌ

Maksudnya:

"Seluruh hari-hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan." – Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16151.

2. Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan.

Kita hendaklah pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain.

Sabda Rasulullah s.a.w:

أَرْبَعٌ لاَ تَجُوزُ فِي الأََضَاحِيِّ فَقَالَ الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءُ بَيِّنٌ ظَلْعُهَا وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تَنْقَى

Maksudnya:
"Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Dawud, 2420.

3. Tidak menggunting rambut dan memotong kuku.

Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w:


إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Maksudnya:
"Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.

Menurut Imam al-Nawawi r.h:
"Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atu bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain." – Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139. Diukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, edisi terjemahan dengan tajuk Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), ms. 98.

Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada ALLAH dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata:

"Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada ALLAH. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." – Rujuk Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96. Dinukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, ms. 99

4. Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian.

Jabir r.a berkata:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya:
"Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah s.a.w ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk 7 orang dan menyembelih lembu untuk 7 orang bersama-bersama Rasulullah s.a.w." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1318.

5. Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya.

Seseorang dibenarkan berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun jumlah yang ramai dan hanya dengan seekor kambing atau sebahagian dari tujuh bahagian itu.

Atha’ bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah s.a.w. Lalu Abu Ayyub menjawab:

كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ

Maksudnya:
"Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1425.

6. Ibadah korban dilaksanakan di musolla.

Menurut sunnah Nabi s.a.w. solat sunat Aidiladha mahupun Aidilfitri dilaksanakan di musolla. tempat terbuka (seperti padang) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat sunat Hari Raya di musolla adalah sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a, dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى. فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ.

Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w. keluar menuju musholla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 956.

Sebagaimana yang telah kita maklum solat di Masjid Nabawi adalah lebih baik daripada solat 1000 kali di masjid lain selain Masjidil Haram. Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah s.a.w. tetap memerintahkan para sahabat untuk mendirikan solat Hari Raya di musolla. Ibnu Qudamah r.h di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:

“Mengerjakan solat Hari Raya di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi s.a.w. keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat Hari Raya.”
Oleh itu disunnahkan melaksanakan ibadah korban di tanah lapang yang digunakan untuk mengerjakan solat Aidiladha (musolla) demi memperlihatkan syiar Islam.

Menurut Ibn Umar r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْبَحُ وَيَنْحَرُ بِالْمُصَلَّى



Maksudnya:
"Sudah menjadi kebiasaan baginda menyembelih dan berkorban di musolla." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5552.

7. Sunnah menyembelih sendiri haiwan korban.

Sunnah dan afdal mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri.

Anas r.a berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ



Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.

Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.

8. Menyembelih haiwan korban mengikut sunnah.

Hendaklah menyembelih haiwan korban menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan tersebut mati dengan serta-merta. Sebelum upacara menyembelih diadakan, baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca (بِسْمَ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر).

Anas r.a berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا



Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama ALLAH dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung keduanya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.

Ketika menyembelih kita hendaklah mengerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Darah dari anggota badan haiwan korban tersebut hendaklah dialirkan keluar sepenuhnya sebelum melapahnya.

9. Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan.

Sunnah bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan mensedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut.

Sabda Nabi s.a.w:


فَكُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا

Maksudnya:
"Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu)." - Hadis riwayat al-Muslim di dalam Sahih al-Muslim, hadis no: 1971.

10. Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban.

Sudah menjadi lumrah bagi masjid-masjid di Malaysia memberi tukang sembelih daging korban tersebut sebagai upah bagi kerjanya. Perbuatan ini bertentangan dengan syarak dan dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberikan menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.

Ali r.a berkata:

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا



Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1317.

Demikianlah beberapa sunnah Rasulullah s.a.w ketika melaksnakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha. Oleh itu, kita hendaklah bersungguh-sungguh mengamalkan sunnah-sunnah tersebut.

Berbahagialah orang-orang yang diberi taufik oleh ALLAH dalam beribadah kepada-NYA dengan mengikuti sunnah Nabi-NYA dan tidak mencampur-adukkannya dengan amalan bid'ah.

Sumber dari Sini..



Read more...

Nov 28, 2008

Hari Raya Haji 8 Disember


Hari Raya Haji 8 Disember
27/11/2008 9:16pm


KUALA LUMPUR 27 Nov. — Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah hari ini mengisytiharkan Hari Raya Aidiladha bagi seluruh Malaysia ditetapkan Isnin, 8 Disember ini.


“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijjah 1429 Hijrah ialah pada 29 November 2008 Masihi.


“Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijjah) bagi seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Isnin, 8 Disember,” menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. - Bernama




Read more...

Nov 27, 2008

Apabila zina lebih mudah daripada kahwin

Apabila zina lebih mudah daripada kahwin
MINGGU depan adalah minggu terakhir saya sebagai Mufti Negeri Perlis. Tulisan hari ini adalah yang kedua sebelum yang terakhir pada minggu hadapan. Banyak perkara yang ingin saya kongsikan sepanjang tempoh dua tahun menjadi mufti. Namun, nampaknya saya terpaksa tangguhkan terlebih dahulu hasrat itu kerana buat penghabisan kali di atas jawatan ini saya ingin menyentuh kerenah perkahwinan dalam negara ini. Hal ini penting terutama menjelang musim cuti sekolah kerana ramai yang akan berkahwin.

Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegah yang makruf dan mencegah yang munkar. Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat Islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah SWT.



Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumah tangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi seterusnya pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-kerenah yang pelbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-kerenah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.

Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibu bapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya. Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan. Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi SAW: “Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam erti kata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mi pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya: “Kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?” Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya. Sepatutnya si bapa bertanya: “Kau dah ada pasangan ke?” Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam Rukun Nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf. Nabi SAW bersabda: “Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maka, menderitalah bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.

Kursus kahwin

Saya bukan antikursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, khususnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh profesional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan. Malangnya, kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara, penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakut dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru semakin meningkat.

Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya. Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut ‘saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi‘i, maka sahlah ijab dan kabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka. Sehinggakan sarjana fiqah semasa Dr. Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut: “Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang Arab Badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi SAW (ingin berkahwin dengan Nabi SAW), Arab Badawi itu berkata:“Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi SAW: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah). Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab Iza Qala al-Khatib li al-Wali Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au Qabilta, maksudnya: Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”. Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Apa yang penting proses ijab dan kabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah. Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut: “Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355). Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab kabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “Aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: Perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.

Berkahwin

Setelah berkahwin, rumah tangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa. Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai-bagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah: (maksudnya) “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah al-Baqarah, ayat 231).

Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi mahkamah yang bernama syariah. Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan. Kata Dr. Karim ‘Abd al-Karim Zaidan: “Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah...Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi‘in” (al-Mufassal, 7/217). Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”. Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah: “Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (fasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Sama ada suami sengaja atau tidak sengaja”. (Ibid 8/439). Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumah tangga untuk kebahagiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumah tangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah birokrasi mahkamah. Hakim barangkali ringan lidahnya menyebut: “Kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.

Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagiaan dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.

Read more...

Sirah haji - hajjatul wada’

Sirah haji - hajjatul wada’


BERULANG-alik antara Bukit Safa dan Marwah adalah sebagai memperingati peristiwa Siti Hajar mencari bantuan makanan untuk anaknya Nabi Ismail. – Gambar hiasan


Pada bulan Zulkaedah, 10H Rasulullah SAW memaklumkan kepada para sahabat tentang keazaman baginda untuk menunaikan haji. Pengumuman ini mendapat respons yang positif di mana sahabat bersegera menyiapkan bekalan perjalanan masing-masing.

Sesungguhnya, ibadah yang bakal dilaksanakan ini merupakan yang pertama dan terakhir sebelum kewafatan baginda. Justeru, Hajjatul Wada’ adalah satu-satunya contoh untuk kita mengetahui sejarah haji Rasulullah dan kaifiat mengerjakannya.

Perjalanan haji Rasulullah SAW bersama isteri-isteri dan sahabat baginda bermula pada 24 atau 25 Zulkaedah; iaitu pada enam hari terakhir bulan tersebut. Rombongan seramai kira-kira 120,000 orang ini bermalam di Zul Hulaifah sebelum berihram haji pada keesokan harinya.

Menurut pendapat yang rajih, Rasulullah berihram secara Qiran sebagaimana yang diceritakan oleh Anas ibn Malik r.a.: …selepas itu Baginda SAW pun berihram dengan haji dan umrah. (riwayat Bukhari). Kemudian, dengan laungan talbiah dan alunan zikir yang bergema penuh semangat, mereka bergerak menuju Mekah.

Setelah menempuh pelbagai situasi, pada 3 Zulhijjah rombongan tiba di Zu Tuwa; sebuah perkampungan di pinggir kota Mekah seterusnya bermalam di situ.

Setelah siang iaitu pada 4 Zulhijjah, Rasulullah mandi membersihkan diri kemudian bergerak memasuki Kota Makkah melalui Kada’ di wilayah al-Batha’. Apabila tiba di Masjidil Haram, Rasulullah SAW mengetuai umatnya menuju ke Baitullah dan berittiba’. Setelah istilam dan mengucup Hajarul Aswad, baginda SAW terus mengerjakan tawaf Qudum sebanyak tujuh pusingan, di mana Ramal dilakukan pada tiga pusingan yang pertama.

Selesai tawaf, Rasulullah menunaikan solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim dan apabila selesai, baginda sekali lagi mengucup Hajarul Aswad.

Seterusnya Baginda menuju ke al-Mas’a untuk mengerjakan saie haji antara Bukit Safa dan Marwah. Setelah mengerjakan saie, Rasulullah memerintahkan para sahabat yang berihram secara Ifrad atau Qiran tetapi tidak membawa al-Hadyu (binatang sembelihan) agar menukar niat ihram mereka kepada ihram umrah dan seterusnya bercukur atau bergunting bagi menghasilkan tahallul.

Jabir r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda di Marwah: Barang siapa di antara kamu yang tiada membawa al-Hadyu, maka hendaklah ia bertahallul umrah. (riwayat Muslim)

Setelah selesai urusan yang berkenaan, Rasulullah kekal berada di Mekah sehingga 8 Zulhijjah. Sepanjang tempoh ini, baginda berterusan memberi tunjuk ajar kepada para sahabat.

Pada waktu zuhur hari Tarwiyah bersamaan Khamis, 8 Zulhijjah, iaitu ketika berada di Abtah, Rasulullah mengingatkan jemaah Tamattuk agar berihram haji. Kemudian, mereka bergerak ke Mina sambil bertalbiyah, seterusnya bermalam di situ. Semasa di Mina, mereka mengerjakan solat fardu secara qasar tanpa jamak.

Keesokan harinya (Hari Arafah/9 Zulhijjah), pada waktu dhuha, Rasulullah dan rombongan berangkat ke Arafah dan baginda berkhemah di Namirah. Apabila hampir waktu zuhur, Rasulullah menaiki untanya al-Qaswa’ menuju ke Wadi ‘Uranah untuk menyampaikan khutbah Arafah.

Selepas itu, baginda mengimami solat zuhur dan asar secara jamak taqdim dan qasar, dengan satu azan dan dua iqamat. Selesai solat, Rasulullah pergi ke kaki bukit Jabal Rahmah dan berwuquf di al-Sakhrah sehingga terbenam matahari.

Setelah terbenam matahari, Rasulullah berangkat dengan penuh ketenangan ke Muzdalifah dengan menaiki untanya. Usamah ibn Zaid r.a. meriwayatkan: Rasulullah SAW bergerak dengan perlahan. Sekiranya didapati ada kelapangan di hadapan, barulah baginda mempercepatkan pergerakan untanya. (riwayat Bukahri)

Apabila tiba di Muzdalifah, Rasulullah menunaikan solat maghrib dan isyak secara jamak ta’khir dan qasar. Sebelum mabit, baginda mengizinkan golongan tua yang uzur, wanita dan kanak-kanak agar meneruskan perjalanan ke Mina selepas tengah malam.

Apabila fajar menyingsing, Rasulullah bangun menunaikan solat subuh seterusnya berdoa sehingga hari cerah dan mengutip tujuh biji anak batu. Kemudian, dengan gema laungan talbiyah, baginda menuju ke al-Jamratul Kubra di Mina lalu melakukan lontaran seraya bertakbir pada waktu dhuha.

Selesai melontar pada hari Nahar, 10 Zulhijjah ini, baginda menyembelih al-Hadyu sebanyak 63 ekor Badanah seterusnya bercukur untuk Tahallul Awwal, dan menghadiahkan rambut-rambutnya kepada sahabat sebagai kenangan. Selesai bercukur, Rasulullah membersihkan diri dan memakai wangian kasturi lalu baginda bergerak menuju Mekah.

Apabila tiba di Masjidil Haram, Rasulullah mengerjakan tawaf Ifadhah bertujuan menghasilkan Tahallul Thani. Selesai tawaf dan solat di belakang Makam Ibrahim, baginda minum air zamzam dan berehat seketika sehingga masuk waktu zuhur. Setelah solat, Rasulullah kembali ke Mina bagi tujuan mabit pada malam hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Pada siang harinya pula, Rasulullah mengisi waktu-waktu Baginda dengan berkhutbah dan menyelesaikan permasalahan umatnya berkaitan ibadat haji. Apabila matahari tergelincir, Rasulullah SAW pergi melontar di Jamarat, iaitu al-Sughra, al-Wusta dan al-Kubra, serta berdoa setiap kali sempurna lontaran di dua jamrah yang pertama seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn Umar r.a.

Jabir r.a. pula meriwayatkan: Rasulullah SAW melontar al-Jamratul Kubra pada hari Nahar ketika waktu dhuha, manakala lontaran yang seterusnya (di Jamarat pada hari-hari Tasyriq) ialah selepas matahari tergelincir. (riwayat Muslim)

Sepanjang baginda SAW berada di Mina, Rasulullah mengerjakan solat-solat fardu secara qasar sahaja.

Setelah menyempurnakan lontaran pada 13 Zulhijjah, Rasulullah menuju ke al-Muhassab dan bermalam di situ. Pada 14 Zulhijjah, baginda bangun sebelum subuh lalu menyucikan diri. Selepas itu, baginda menunggang untanya menuju ke Masjidil Haram untuk mengerjakan tawaf Wada’ ketika hari masih gelap.

Selesai tawaf, Rasulullah segera meninggalkan Mekah melalui al-Thaniyyah al-Sufla dan pulang ke Madinah. Setibanya di Kuday, Rasulullah bertemu dengan isterinya Aisyah r.a. yang baru selesai mengerjakan umrah dari Tan’im.

Rasulullah meneruskan perjalanan sehingga tiba di Zul Hulaifah lalu bermalam di situ. Keesokan paginya, baginda bergerak menuju ke Madinah melalui jalan Mu’arras. Akhirnya, dengan lafaz takbir, tahlil dan doa, Rasulullah dan rombongan baginda selamat sampai ke Kota Madinah.

Begitulah secara ringkasnya sirah haji yang mampu dipaparkan dalam ruangan ini. Semoga ia menjadi panduan buat bakal jemaah haji dan pembaca sekelian. Wallahu A’lam.




Read more...

Lima hari perlu jadi renungan untuk keberkatan

Ummah perlu nilai amalan masa lalu, buat kebaikan masa kini dan mencari bekalan untuk akhirat

SELAIN hari yang dilalui dalam seminggu, ada hari yang perlu diketahui sebagai mengingatkan kepentingan menghargai waktu dilalui supaya diisi dengan perkara berfaedah selain berusaha mencari keredaan Allah.

l Hari yaum mafqud (hari yang sudah hilang). Hari yang hilang ialah hari kelmarin kita tinggalkan bersama amalan baik, buruk, kenangan pahit atau manis. Ia tidak akan kembali semula dengan apa cara sekalipun. Kita hanya mampu mengambil iktibar dan pengajaran dari hari kelmarin.


Jika kelmarin berlalu dengan kebaikan dan amalan salih, maka ia perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi tanpa henti, tetapi jika ia berlalu dengan kejahatan dan maksiat kepada Allah, maka ia perlu dihentikan dan dibajai dengan rasa menyesal supaya perkara itu tidak berulang lagi.

Hari kelmarin juga mengajar kita sentiasa muhasabah diri dan mengenal pasti segala kekurangan serta kelemahan untuk diperbaiki. Orang yang membiarkan kelmarinnya berlalu tanpa penilaian adalah orang yang tidak mempedulikan nasib dirinya, tidak mahu mengubah nasib hidupnya ke arah lebih baik dan diredai Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." – (Surah al-Ra'd, ayat 11)



Nasib seseorang akan berada di takuk lama jika dia sendiri tidak mahu dan berusaha mengubah nasib hidupnya.


Yaum masyhud ialah hari yang sedang disaksikan iaitu hari yang kita berada padanya. Sudah pasti hari itu kita mempunyai banyak tugas untuk diselesaikan tidak kira sama ada doktor, pensyarah, jurutera, pekerja kilang, polis, petani atau nelayan. Yang penting ialah kepandaian mengurus dan mengatur tugas itu.

Orang bijak akan mendahulukan perkara utama yang perlu diselesaikan daripada perkara lain. Sebab itulah kita perlu memahami perkara keutamaan dalam hidup kita. Dengan memahami keutamaan, urusan hidup akan berjalan lebih lancar dan selesa.

Selaku mukmin sejati, kita juga digesa menyelesaikan perkara yang boleh diselesaikan pada hari itu dan tidak menangguhkannya sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu, "sesungguhnya aku akan melakukannya keesokan hari". – (Surah al-Kahfi, ayat 23)
Sifat suka menangguhkan kerja akan menyebabkan kerja itu bertimbun dan akhirnya ia tidak dapat disiapkan dengan sempurna. Ia akan menjadi beban berpanjangan kepada kita.


Sementara hari yang mendatang atau yaum mawrud ialah hari yang mendatang ialah hari esok yang bakal kita tempuhi. Sebaiknya kita mempunyai perancangan menghadapi hari esok supaya urusan hidup tidak terbantut. Kita masih boleh memperbaiki kelemahan dilakukan hari ini dengan memastikan ia tidak berlaku lagi keesokan harinya.

Pepatah 'sediakan payung sebelum hujan' amat tepat dalam menanti kedatangan hari esok. Kita perlu bersedia untuk apa keadaan sekalipun sama ada yang baik atau buruk.

Contoh terbaik ditunjukkan Nabi Yusuf dalam merancang untuk menghadapi keadaan kemarau setelah diketahui ia akan berlaku, patut diteladani kita semua. Perancangan Nabi Yusuf berjaya menyelamatkan rakyat Mesir ketika itu daripada bencana kemarau selama tujuh tahun.

Yaum maw'ud iaitu hari yang dijanjikan ialah hari kiamat yang dijanjikan Allah akan berlaku. Hari kiamat ialah rukun iman kelima yang wajib diimani setiap orang Islam. Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi menceritakan perihal hari kiamat yang dahsyat kerana ia adalah hari kemusnahan dunia.

Langit dan bumi akan hancur, begitu juga planet dan cakerawala yang ada di dalam alam maya ini. Hari kiamat juga menyaksikan semua manusia akan mati termasuk makhluk lain, malah malaikat juga akan mati. Yang kekal ketika itu hanyalah Allah kerana Allah itu Maha Kekal Abadi.

Tiada siapa yang tahu bilakah hari kiamat akan berlaku. Nabi Muhammad sendiri tidak diberitahu oleh Allah kerana ia urusan Allah. Apa yang Allah tunjukkan hanyalah tanda yang dapat dilihat manusia supaya insaf dan beriman kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Anas bin Malik dalam sahih Muslim yang bermaksud: "Aku diutuskan dan hari kiamat seperti dua jari ini. (Anas) berkata: Baginda menghimpunkan (mengisyaratkan) antara jari penunjuk dan jari tengah."

Nabi Muhammad SAW menggambarkan hari kiamat itu amat hampir dengan mengisyaratkan jarak hari kiamat dengan zaman Baginda sama seperti jarak antara jari telunjuk dan jari tengah. Jika pada zaman Nabi Muhammad SAW 1400 tahun yang lalu pun jaraknya sudah hampir, apatah lagi dengan zaman kita sekarang ini. Oleh itu kita mesti bersiap sedia dengan memperbanyakkan amalan salih untuk menghadapi hari kiamat yang akan tiba pada bila-bila masa saja.

Hari pembentangan (yaum mamdud) ialah hari dibentangkan semua makhluk di hadapan Allah di padang Mahsyar. Pembentangan bertujuan menjalani upacara menghitung amalan baik untuk diberi ganjaran nikmat syurga dan menghitung amalan jahat untuk diberi azab neraka.

Kehidupan di akhirat bersifat kekal abadi yang tiada kesudahannya sampai bila-bila. Ia memang tidak dapat difikirkan akal fikiran tetapi wajib diimani setiap umat Islam bahawa mereka akan dihidupkan kembali dan dibangkitkan untuk dihisab oleh Allah.

Penyelamat utama bagi umat Islam pada hari Mahsyar nanti hanyalah rahmat Allah dan syafaat Nabi Muhammad SAW. Untuk mendapat tiket rahmat dan syafaat pada hari itu ialah dengan beriman kepada Allah dan memperbanyakkan amalan salih di dunia ini.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang yang berbuat baik (amal salih)." - (Surah al-A'raf, ayat 56)

Berbahagialah orang beriman dan beramal salih kepada Allah dan amat rugilah orang yang ingkar kepada Allah. Begitulah lima hari yang perlu direnung supaya hidup kita sentiasa diberkati dan diredai Allah.

Read more...

Lima hari perlu jadi renungan untuk keberkatan


Lima hari perlu jadi renungan untuk keberkatan


Ummah perlu nilai amalan masa lalu, buat kebaikan masa kini dan mencari bekalan untuk akhirat

SELAIN hari yang dilalui dalam seminggu, ada hari yang perlu diketahui sebagai mengingatkan kepentingan menghargai waktu dilalui supaya diisi dengan perkara berfaedah selain berusaha mencari keredaan Allah. 

l Hari yaum mafqud (hari yang sudah hilang). Hari yang hilang ialah hari kelmarin kita tinggalkan bersama amalan baik, buruk, kenangan pahit atau manis. Ia tidak akan kembali semula dengan apa cara sekalipun. Kita hanya mampu mengambil iktibar dan pengajaran dari hari kelmarin.

Jika kelmarin berlalu dengan kebaikan dan amalan salih, maka ia perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi tanpa henti, tetapi jika ia berlalu dengan kejahatan dan maksiat kepada Allah, maka ia perlu dihentikan dan dibajai dengan rasa menyesal supaya perkara itu tidak berulang lagi. 

Hari kelmarin juga mengajar kita sentiasa muhasabah diri dan mengenal pasti segala kekurangan serta kelemahan untuk diperbaiki. Orang yang membiarkan kelmarinnya berlalu tanpa penilaian adalah orang yang tidak mempedulikan nasib dirinya, tidak mahu mengubah nasib hidupnya ke arah lebih baik dan diredai Allah. 

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." – (Surah al-Ra'd, ayat 11)



Read more...

Pen Skodeng


 

KUALA LUMPUR - Jangan terkejut jika gambar anda disebarkan melalui internet tanpa menyedari bila diambil kerana teknologi terkini telah membolehkan rakaman dibuat menggunakan sebatang pen dakwat yang kini telah berada di pasaran. 

Pen yang dinamakan sebagai 'Pen Skodeng' di kalangan pelajar sekolah itu dijual di beberapa tempat selain melalui internet pada harga RM500 dan sambutannya dikatakan amat menggalakkan. 

Dengan membawa pen tersebut, segala gambar boleh dirakamkan secara sembunyi tanpa disedari oleh mangsanya. Lebih malang lagi, pen tersebut disalahgunakan untuk tujuan yang tidak elok. 

'Pen Skodeng' juga boleh merakamkan audio dan visual dengan hanya meletakkannya pada poket baju seperti pen biasa tanpa menimbulkan syak. TANPA disedari 'Pen Skodeng' mampu merakam aksi panas tanpa disedari mangsa. 

 Gambar hiassan 

Apa yang membimbangkan, kebanyakan pembelinya pula terdiri daripada golongan remaja dan pelajar sekolah biarpun harganya mampu mencecah ratusan ringgit di pasaran. 

Salah seorang penggunanya yang dikenali sebagai Azmi, 20, berkata, dia mengetahui penjualan 'Pen Skodeng' ketika berjalan-jalan di sebuah pusat beli-belah beberapa bulan lalu. "Kebiasaannya, gajet sebegini hanya boleh dilihat melalui siri-siri 
penyiasatan popular seperti Mission Imposible atau James Bond, namun kini 
ia boleh didapati dengan mudah di negara ini," katanya kepada Kosmo! di sini, semalam. 

 

Sumber: Kosmo





Read more...

Nov 24, 2008

Dr Asri: Isu haram yoga, fatwa jangan kaku

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini mula menegur Majlis Fatwa Kebangsaan tentang isu pengharaman yoga yang diumumkan baru-baru ini.

Walaupun pada dasarnya, beliau bersetuju ada unsur agama lain dalam yoga, pergerakan senaman itu menurut beliau tidak seperti air yang sudah tercemar yang sukar untuk dipisahkan.

"Majlis Fatwa jangan hanya mengharamkan saja tapi berilah alternatif. Banyak lagi amalan-amalan sukan yang diambil dari budaya lain seperti tai chi, judo, taekwando. Semua sukan ini bukan asal usul Islam tetapi diamalkan kerana ianya baik untuk kesihatan," jelas Dr Asri dalam satu temubual telefon sebentar tadi.



Dr Asri difahamkan tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan kerana dikatakan kurang selesa dengan sikap diskriminasi JAKIM kepadanya dan kenyataan Pengarah JAKIM yang tidak berapa senang dengan pandangan alternatif beliau.

Pun begitu, ini tidak menghalang beliau untuk memberi satu lagi pandangan tentang fatwa 'yoga'.

"Pengamal-pengamal yoga yang beragama Islam sepatutnya ada alternatif dengan diberikan satu versi amalan yoga yang terpisah dengan pergerakan yang terlalu jelas menyamai agama lain, bacaan-bacaan yang bertentangan dengan agama Islam dan kepercayaan karut. Versi yoga yang disyorkan ini seharusnya mengekalkan pergerakan yang baik untuk kesihatan.

"Tanggalkan yang bertentangan sahaja, samada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Kekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan," jelas Dr Asri.

Kata Dr Asri lagi, Majlis Fatwa Kebangsaan sepatutnya tidak terlalu kaku.

"Fatwa yang dikeluarkan pada zaman sekarang hendaknya jangan terlalu kaku. Berilah alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga yang baik untuk kebaikan kesihatan. Sekiranya ada kelebihan dari segi kesihatan dan ianya memanfaatkan, itu boleh dikekalkan.

"Pergerakan manusia itu tidak semestinya berkaitan dengan agama. Sama seperti amalan judo, misalnya. Apa yang tidak sesuai, dihapuskan saja dan diambil manfaatnya. Kita kekalkan pergerakan yang meafaatkan badan," jelas Dr Asri.

Beliau juga berharap Majlis Fatwa memberi ruang untuk umat Islam melihat alternatif.

Sabtu lepas, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Pengerusi, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin mengumumkan Majlis Muzakarah Kebangsaan (yang bersidang pada 22 hingga 24 Oktober di Kota Bharu) bersetuju memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.

Umat Islam negara ini diminta tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.

Tambah beliau, amalan fizikal senaman yoga tanpa unsur-unsur tersebut pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.

Namun, beliau menasihati umat Islam agar meninggalkan amalan tersebut kerana dikhuatiri akan menghakis akidah mereka.

“Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.

“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media hari itu.

Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.

Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jelasnya, pelaksanaan dari dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Kuasa perlaksanaan dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Setelah ia diwartakan barulah kita boleh tahu apa tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka yang masih mengamalkannya,” katanya.

Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.

Menurut Zakaria, yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa.

"Mereka mengamalkan yoga kerana percaya boleh menyatukan mereka dengan Tuhan," katanya.

Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Read more...

Nov 22, 2008

Yoga secara sistematik haram - Majlis Fatwa

Yoga secara sistematik haram - Majlis Fatwa
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusinya Dato' Dr Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

"Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

"Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam," katanya dipetik Bernama di sini hari ini.

Abdul Shukor berkata perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Okt lalu di Kota Bharu, Kelantan, dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan.

Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.

Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah, serta perlu mengkaji secara mendalam mengenai sesuatu amalan sebelum melakukannya.

Beliau berkata terdapat banyak amalan lain dalam Islam yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan dan mendapatkan ketenangan termasuk mengamalkan sembahyang dan berzikir.

Yoga merupakan satu pakej senaman yang telah diamalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi dan dikatakan boleh melambatkan penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, lelah dan penyakit jantung. - mks._




Read more...

Isu ladang babi: RTM,TV3 berniat jahat terhadap Kedah

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Media pro Umno-Barisan Nasional (BN) sekali lagi cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang didukungi oleh PAS,KeADILan dan DAP.

Jika sebelum ini, media cetak memainkan peranan dengan menjadi agen penyebar dakyah dan permainan licik politik BN,kini media elektronik menjadi senjata apabila RTM dan TV3 cuba memutarbelitkan fakta untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Negeri Kedah.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Mohd Khalid dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini mendedahkan bagaimana kerajaan Kedah dijadikan mangsa dengan corak pemberitaan yang memesongkan dan berniat jahat.

Menurutnya, siaran berita RTM di TV1 sekitar jam 1.00 petang 19 November 2008 dan siaran Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam 19 November 2008 mendedahkan tembelang sebenar kedua-dua stesen televisyen tersebut apabila menyiarkan berita yang jauh terpesong dan berniat jahat.

"Kedua-dua siaran tv ini melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah bakal membuka sebuah ladang ternakan babi di Kedah.

"Saya ingin tegaskan bahawa kedua-dua berita tersebut adalah satu pembohongan dan telah memutarbelitkan fakta seperti yang tercatat dalam buku Jawapan Bertulis Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua Belas (Mesyuarat Bajet 2009),"jelasnya.

Tambahnya,siaran berita tersebut hanyalah berbentuk jahat untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Negeri Kedah dan menghasut rakyat untuk bencikan Kerajaan dan berbentuk provokasi.

"Sebagai makluman pembukaan ladang itu hanya akan berlaku jika terdapat aduan kacau ganggu di ladang-ladang yang sedia ada.

"Selebihnya, keputusan tersebut telah dibuat oleh Kerajaan terdahulu melalui surat UPEN (K) 707 SK.4 ( ) bertarikh 4 Disember 2007 bertajuk: Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) Mengenai Ladangan Masa Depan Industri Ternakan Khinzir di Negeri Kedah Darul Aman,"katanya lagi.

Helmi juga mendedahkan,sekalipun telah dijelaskan dalam sesi penggulungan Sidang Bajet pada 20 November dan sidang akhbar pada hari yang sama oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bahawa ini adalah keputusan Kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) bagaimanapun TV3 khususnya masih menggunakan perkataan 'hasrat Kerajaan PAS Kedah membuka ladang babi'.

"Bagi saya ia jelas satu pembohongan fakta yang amat jelas oleh stesen televisyen swasta berkenaan dalam siarannya pada 20 dan 21 November melalui slot Buletin Utama.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa dalam sidang akhbar, Menteri Besar juga telah memberitahu bahawa beliau dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menghormati keputusan Kerajaan terdahulu (BN) bertarikh 4 Disember 2007 itu dan setelah mendapat nasihat daripada pihak Vertarina negeri, pihaknya belum lagi memutuskan tempat atau bila ladang berpusat itu akan dibina,"jelasnya lagi.

Beliau juga menambah, bahawa Ustaz Azizan juga menyatakan pembinaan ladang ternakan itu adalah untuk kebaikan semua pihak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan masalah seperti pencemaran, bau busuk dan seumpamanya.

Menurut Ustaz Azizan,kata Helmi, bukan hanya ladang babi, jika terdapat ladang ayam, lembu, kambing, kerbau sekalipun telah menimbulkan keresahan rakyat, maka ladang tersebut akan dipindahkan.

Oleh itu katanya, dari penjelasan itu, amat jelas bahawa Kerajaan Negeri memikirkan satu tempat dan kaedah terbaik untuk mengatasi permasalahan yang mungkin atau telah wujud berpunca dari ladang ternakan tersebut.

"Adalah di luar dari jangkauan pemikiran saya jika pemberita TV3 Kedah lebih suka melihat ladang babi dibina berdekatan kawasan perumahan jika dibandingkan dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memindah dan memusatkan ladang dan sembelihan di satu kawasan yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

"Saya juga menjangkakan, jika ladang baru itu nanti terbina sekalipun jauh dari kawasan penempatan, sekali lagi akan ada pihak memainkan isu bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat telah membina ladang ternakan babi yang luas, jika andaian saya ini benar-benar berlaku, sahlah bahawa berita berkenaan bukannya membela hak dan kepentingan rakyat tetapi ia lebih membela hak binatang ternakan tersebut kerana telah dipinggirkan dan ditempatkan di kawasan yang terpencil,"tegasnya.

Pimpinan Pakatan Rakyat kecam media pro Umno-BN

Sementara itu, baru-baru ini pemimpin Pakatan Rakyat, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang sepakat mengecam konspirasi media pro Umno-BN yang sedang bertungkus lumus untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat dengan menabur fitnah, adu-domba dan memainkan isu-isu sensitif bagi mengelirukan rakyat.

Selain untuk mencetuskan kemarahan rakyat, tindakan media pro Umno-BN itu juga bertujuan untuk menjatuhkan reputasi lima kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin.

Perkara ini didedahkan oleh ketiga-tiga mereka pada 'Majlis Makan Malam dan Bengkel Mini Pakatan Rakyat' yang diadakan di Hotel De Palma, Ampang dekat sini baru-baru ini.

Presiden PAS dalam penegasannya bimbang peranan yang dimainkan oleh media arus perdana boleh mengancam kestabilan dan kemuafakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sekiranya perkara ini tidak dapat dibendung dengan segera.

Kata beliau, peri pentingnya media telah dibuktikan oleh MCA dengan mengambil alih dua buah akhbar utama berbahasa Cina, Nyangyang Siang Pau dan Sin Chew Daily selepas pilihan raya kecil Lunas bagi menyekat sokongan orang-orang Cina terhadap pembangkang.

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan menyifatkan media arus perdana bertindak 'kasar' dengan melaporkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan perbalahan kaum dan agama seperti yang berlaku ke atas exco kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Teresa Kok dan Ronnie Liu serta editor Malaysia-today, Raja Petra Kamaruddin.

"Media sekarang ini mainkan isu perkauman. Bangkitkan isu agama. Seolah-olah terdapat pergeseran dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat dan ini amat merbahaya," tegas Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Justeru itu, ketiga-tiga pemimpin mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan laporan-laporan berniat 'jahat' yang disiarkan oleh media cetak dan elektronik yang dikuasai Umno-BN.


Read more...

Nov 20, 2008

Razak: Tempoh 22 bulan dipenjara tekanan paling besar dalam hidup

KUALA LUMPUR: "Sejak dua tahun lalu, saya tidak sedar betapa jauhnya dunia tanpa sempadan," itu komen Abdul Razak Abdullah Baginda pada sidang media pertama selepas dibebaskan daripada tuduhan dalam kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tiga minggu lalu.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan yang tersebar di dalam blog-blog mengenai dirinya sepanjang beliau berada di dalam tahanan selama 22 bulan.

Razak menemui wartawan di sebuah hotel di ibu negara pada jam 9.30 pagi ini ditemani bapanya, Datuk Abdullah Malim Baginda dan tiga peguam; Avtaran Singh, Rozana Abdullah dan Alex Tan.

Dalam sidang media selama 45 minit itu, Razak menyifatkan tempoh beliau dipenjarakan sebagai satu tempoh yang sangat menekan, menduga dan menyedihkan sepanjang 48 tahun hidupnya.

"Saya telah menghabiskan selama 22 bulan di penjara dan dengan petunjuk Allah SWT jua, dengan keyakinan penuh bahawa saya tidak bersalah dan sokongan yang diberikan oleh keluarga dan kawan karib telah membantu saya.

"Kasih sayang dan dedikasi mereka yang tidak terhingga yang memberi saya kekuatan. Setiap hari Sabtu tanpa gagal, keluarga saya akan datang melawat saya semasa tempoh lawatan mingguan.

"Sejumlah lebih 100 kali mereka datang melawat dan lawatan mereka adalah kemuncak dari seminggu saya. Sungguh, saya sungguh bertuah," katanya.

Beliau berkata, dalam masa dua kali menyambut Hari Raya di penjara, beliau menerima tidak lebih daripada 20 keping kad ucapan.

"Mungkin lumrah manusia apabila seseorang di dalam kesusahan, ramai yang rnenjauhkan diri. Saya telah menjangkakan ini dan tepat sekali, lumrah manusia ini tidak pernah mungkir.

"Saya telah menyambut dua kali Hari Raya di dalam penjara. Sebelum dipenjara, menjelang Hari Raya saya akan terima ratusan kad raya. Dalam dua tahun yang lepas, saya terima tidak lebih dari dua puluh keping kad," katanya.

Diminta mengulas mengenai kehidupannya dalam penjara, Razak berkata, dalam tempaoh itu, beliau mendekatkan diri kepada Allah.

"Saya menganggap diri saya bertuah. Tuhan memberi saya peluang yang lebih baik selain kematian. Ada yang mati kerana serangan jantung dan sebagainya.

"Tapi, Tuhan memberi saya pemenjaraan. Itu memberi saya peluang untuk mencermin semula hidup saya. Rakan-rakan di penjara juga membantu saya untuk menyesuaikan diri di sana.

"Sehingga hari ini, saya sendiri kagum dapat bertahan selama 22 bulan," katanya.

Katanya, beliau turut menghabiskan masa di penjara dengan membaca.

"Saya banyak membaca. Tapi ada masanya, saya banyak membaca biografi tapi sejak setahun lalu, saya banyak membaca tentang Islam dan Nabi Muhammad serta politik Islam," katanya.

Ketika ditanya apa perubahan yang berlaku kepada dirinya sejak keluar daripada penjara tiga minggu lalu, Razak berkata, beliau begitu berselera ketika makan dan berat badannya semakin bertambah.

"Saya banyak sekarang. Berat badan saya naik. Di dalam penjara, semuanya (makanan) ditentukan untuk kamu, semuanya dirancang...masa makan, masa tidur.

"Sekarang saya sedang menyesuaikan diri," katanya

Read more...

Razak: Najib tidak pernah jumpa Altantuya

KUALA LUMPUR: "Saya tidak pernah ada hubungan dengan Altantuya" demikian kata-kata Abdul Razak Abdullah Baginda pada sidang media pertama selepas dibebaskan daripada tuduhan dalam kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tiga minggu lalu.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu menemui wartawan di sebuah hotel di ibu negara pada jam 9.30 pagi ditemani bapanya, Datuk Abdullah Malim Baginda dan tiga peguam; Avtaran Singh, Rozana Abdullah dan Alex Tan.

Dalam sidang media selama 45 minit itu, Razak berkata, apa yang ditulis atau disebar selama ini berhubung hubungannya dengan Altantuya adalah tidak benar.

Bagaimanapun, beliau mengakui pernah bertemu dengan Altantuya pertama kalinya pada 2004, namun menolak dakwaan mempunyai sebarang hubungan dengan wanita itu.


Beliau turut merayu supaya kepada pihak-pihak tertentu supaya berhenti menyebarkan fitnah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang sebelum ini turut dikaitkan dengan kes pembunuhan itu.

"Saya tahu (Datuk Seri) Najib dan isteri tidak pernah menemui Altantuya. Terlalu banyak fitnah yang dilemparkan kepada Najib dan isteri.

"Mereka yang menyebarkan fitnah tidak pernah mengeluarkan bukti yang cukup kerana sememangnya tidak ada bukti," katanya.

Razak turut mengulas tentang gambar Altantuya bersama Najib yang pernah tersebar di Internet yang mana disifatkannya adalah tidak benar.

"Saya disiasat oleh Suruhanjaya Multimedia ketika di dalam penjara dan saya ditunjukkan gambar tersebut.

"Bagi saya, hanya orang benar-benar bodoh saya yang akan percaya gambar itu asli. Perempuan di dalam gambar tersebut bukan dia," katanya.

Ketika ditanya hubungannya dengan Najib, Razak berkata hubungan mereka sebagai profesional dan dalam pelbagai bentuk termasuk kawan rapat, rakan sekutu dan penasihat.

"Saya mengenali beliau sejak awal tahun 1990. Saya mengenalinya secara profesional dan kemudiannya secara peribadi," katanya.

Razak turut menafikan tentang dakwaan yang mengatakan Altantuya turut terbabit dalam sebuah rundingan.

"Saya sedar macam-macam cerita timbul. Tidak ada sebarang pertalian pun di antara rundingan dengan mangsa.

"Perjanjian rundingan itu dibuat pada Jun 2002, sedangkan saya bertemu mangsa buat pertama kalinya ialah pada Disember atau November 2004.

"Jadi saya gagal melihat sebarang kaitan, tetapi perkara ini masih lagi diperkatakan," kata Razak.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Razak berkata: "Saya akan kembali ke United Kingdom. Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa saya adalah penuntut di Oxford.

"Pada 28 September 2006, dua minggu sebelum saya ditahan, saya telah pun menghantar disertasi kedoktoran setelah beberapa tahun belajar di sana.

"Pihak universiti terpaksa menahan dulu disertasi saya," kata Razak.

Bagaimanapun, beliau telah menghubungi pihak universiti tersebut dan meminta mereka untuk meneruskan proses penilaian bagi mendapatkan ijazah kedoktorannya.

"Saya akan kembali ke sana untuk dinilai dimana pemeriksa akan membaca disertasi saya dan menemubual saya. Insyaallah, saya akan menerima ijazah kedoktoran saya tahun hadapan," ujarnya.

Razak sepatutnya mengadakan sidang media pada 6 November lalu pada masa dan tempat yang sama namun membatalkannya di saat-saat akhir.

Pada hari yang sama, Rowena mengeluarkan kenyataan meminta maaf atas pembatalan sidang media tersebut.

Dalam kenyataannya itu, Rowena berkata, bapanya sedang menyesuaikan semula kehidupan sebagai seorang yang bebas selepas dipenjarakan hampir dua tahun dan ternyata penyesuaian itu mengambil sedikit masa.

Cubaan untuk mendapatkan komen daripada Razak berhubung pembebasannya itu telah dilakukan sejak hari beliau dibebaskan namun beliau enggan berbuat demikian.

Jumaat lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai barisan pendakwaan kes pembunuhan Altantuya berkata, pihaknya tidak akan memfailkan rayuan atas alasan Hakim Mohd Zaki Md Yasin yang memutuskan kes berkenaan sudah membuat penemuan fakta ketika membebaskan Abdul Razak daripada tuduhan tersebut

Razak merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan 31 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah Hakim Mohd Zaki mendapati tiada kes prima facie bagi Razak untuk menjawab tuduhan.

Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi.

Azilah dan Sirul Azhar akan memberikan keterangan secara bersumpah untuk membela diri mereka mulai 15 Januari depan.

Mengulas mengenai pengalamannya sepanjang 22 bulan berada di dalam penjara, kata Razak, tempoh tersebut telah banyak mendekatkan dirinya kepada Allah.

"Saya menganggap diri saya amat bertuah. Saya banyak membaca buku ketika berada di sana tetapi sejak setahun yang lalu, saya semakin banyak membaca tentang Islam," katanya.

Read more...

Nov 19, 2008

Plus beri diskaun tahun depan

Plus beri diskaun tahun depan


KUALA LUMPUR: Pemandu kenderaan ringan (Kelas 1) yang menggunakan Lebuh Raya Utara -Selatan dan Lebuh Raya Ekspres Lingkaran Tengah (Elite) berpeluang menikmati diskaun dan rebat bayaran tol sehingga 25 peratus, mulai tahun depan.

Diskaun itu ditawarkan Plus Expressways Berhad (Plus) menerusi tiga skim Program Insentif Perjalanan Plus, iaitu:

Pengguna kenderaan Kelas 1 yang menggunakan lebuh raya berkenaan antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menikmati diskaun bayaran tol sebanyak 10 peratus mulai 1 Januari depan hingga 31 Disember 2010.

Diskaun tambahan 10 peratus diberi kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang menggunakan lebuh raya berkenaan antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali serta Krismas mulai 1 Januari depan hingga 31 Disember 2010.

Pengguna kedua-dua lebuh raya yang menggunakan sistem bayaran tol elektronik dengan bayaran terkumpul minimum RM200 setiap bulan, akan menerima rebat lima peratus mulai 1 Januari depan. Tawaran terbuka kepada pengguna yang berdaftar dengan Program Loyalti Plus yang akan dilancarkan bulan depan.

Pengarah Urusan Plus Expressways, Noorizah Abdul Hamid, berkata program itu diperkenalkan bagi menyahut seruan kerajaan supaya sektor swasta membantu meringankan beban pengguna ketika keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.

Beliau memberi contoh, melalui insentif pertama pengguna yang melalui Plaza Tol Jalan Duta ke Plaza Tol Ipoh Selatan hanya perlu membayar tol sebanyak RM23.80 berbanding RM26.50 sekarang.

Pada musim perayaan pula, perjalanan antara kedua-dua plaza tol itu hanya dikenakan bayaran RM21.40 selepas diberi diskaun tambahan 10 peratus.

Noorizah menjelaskan pengguna yang memasuki dua lebuh raya berkenaan sebelum jam 12 malam masih dapat menikmati diskaun itu, asalkan mereka keluar selepas 12 malam hingga 7 pagi,

"Ketika ini, 800,000 kenderaan menggunakan kedua-dua lebuh raya itu setiap hari dengan 10 peratus menggunakannya pada jam 12 malam hingga 7 pagi," katanya pada sidang media di Kementerian Kerja Raya di sini, semalam.

Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed yang turut hadir pada sidang media itu berkata, program yang diperkenalkan Plus tidak membabitkan apa-apa komitmen kewangan, termasuk pampasan daripada kerajaan.

"Penyelarasan dan pemberian insentif kadar tol ini sebenarnya diperkenalkan hasil kajian dan penilaian Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) bermula 7 Mei lalu. Ia adalah sebahagian daripada hasil kajian untuk meredakan beban pengguna," katanya




Read more...

Obama pilih Peguam Negara berkulit hitam pertama Amerika

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Barack Obama sudah menamakan peguam veteran, Eric Holder sebagai Peguam Negara, sekali gus peguam kulit hitam Afrika-Amerika pertama menduduki jawatan itu.

Holder, yang pernah menjadi Penolong Peguam Negara ketika pentadbiran bekas Presiden, Bill Clinton, akan mengetuai Jabatan Keadilan Negara, lapor majalah Newsweek yang memetik sumber perundangan yang rapat dengan pentadbiran peralihan Obama.

Pentadbiran peralihan Obama bagaimanapun tidak dapat memberikan komen segera mengenai laporan berkenaan tetapi kemudian disahkan stesen berita NBC.

"Obama menawarkan Holder jawatan itu dan dia menerimanya," kata Newsweek dengan menambah 'pengumuman mengenainya hanya akan dibuat Obama selepas memilih siapa yang mengetuai Jabatan Negara dan Perbendaharaan Negara'.

"Ia satu pilihan yang simbolik. Ia yang pertama, sejarah pertama sebagai orang berkulit hitam mengetuai Jabatan Keadilan Negara Amerika," kata NBC.

Mengikut profil peribadinya, Holder lahir di New York dan ayahnya seorang imigran dari Barbados yang datang ke Amerika Syarikat ketika usia muda.

Holder adalah lulusan Columbia College sebelum memperoleh ijazah undang-undang dari Columbia Law School pada 1976. - AFP




Read more...

Diskaun Tol 10% Untuk Siapa ?

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Semua pengguna kenderaan ringan yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) antara pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus.

Penurunan sebanyak RM2.70 itu merupakan salah satu insentif yang diperkenalkan melalui Program Insentif Perjalanan PLUS bermula 1 Januari tahun depan hingga 31 Disember 2010

[Ulasan Sukj]

1) Sebenarnya insentif ini untuk siapa?
2) Adakah kerajaan sedar bahawa pada waktu itu rakyatnya yang telah letih bekerja disiang hari, mereka mahu berehat dan tidur dimalam hari.
3) Jika ikut logik akal, sepatutnya sesebuah kerajaan hendaklah memberi pertolongan ketika rakyatnya berada dalam kepayahan. Bukan memberi pertolongan ketika rakyatnya sedang nyenyak tidur.
4) Jika kerajaan benar-benar ikhlas, kenapa tidak beri 10% diskaun tol itu semasa waktu puncak iaitu 6:30am - 8:30am dan 5:00pm - 7:00pm. Dalam jangka waktu inilah rakyatnya berada dalam kesusahan kerana tersepit dalam kesesakan lalulintas untuk pergi dan balik bekerja.
5) Bila tersepit dalam kesesakan, sudah pasti minyak kenderaan yang digunakan agak berlebihan. Oleh itu adalah wajar sekiranya kerajaan memberi diskaun tol pada waktu ini.
6) Pemerintah yang prihatin ialah pemerintah yang sentiasa ingin menolong rakyatnya ketika mereka berada dalam kesusahan. Bukan mahu mengambil kesempatan ketika rakyatnya dalam kesempitan.
7) Kesimpulannya, siapa yang akan mendapat faedah bila diskaun itu diberi pada jam 12:00 tengah malam hingga 7:00 pagi?
8) Saya melihat para perompak dan penjenayah yang akan mendapat faedahnya. Perompak yang tinggal di Penang, akan bergerak tengah malam atau awal pagi untuk melakukan rompakan di Kuala Lumpur atau Johor pada siang hari.
9) Jika rompakan itu berjaya, mereka telah memperolehi 2 keuntungan. Pertama hasil rompakan dan kedua 10% diskaun tol.
10) Akhirnya hanya segelintir sahaja rakyat yang mendapat faedah darinya.

Sumber dari Sini..



Read more...

Sarimah Ibrahim Bakal Gantikan Kieran di Era FM

Terbaru, mengenai penyertaan pengacara cantik, Sarimah Ibrahim bersama Era FM. SS dimaklumkan Sarimah dijangka melalui proses latihan sepanjang minggu ini sebelum mula bersiaran atau bergandingan bersama penyampai di konti radio.

Kehadiran Sarimah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Mah Gali mungkin mengganti atau menampung tempat dikosongkan Kieran yang menyertai stesen radio Media Prima, Hot FM. SS difahamkan Sarimah juga akan melalui proses percubaan sebelum diputuskan untuk mengendalikan mana-mana slot siaran atau digandingkan dengan mana-mana penyampai radio di stesen itu.

SS percaya kehadiran Sarimah juga mampu memantapkan lagi stesen radio yang bernaung di bawah AMP Network itu.

Penyertaan Sarimah bersama stesen radio itu bukan sesuatu yang janggal bagi pihak pengurusan di AMP memandang Sarimah pernah tampil sebagai tetamu jemputan selain cukup terkenal mengacarakan program Fail Sulit dan Diari Akademi Fantasia terbitan Astro.

SS percaya kehadiran Sarimah dapat menarik jumlah pendengar baru untuk stesen radio yang turut melakukan beberapa rombakan bermula dengan pertukaran pengurusan atasan membabitkan Rostam Said menjawat jawatan Pengurus Program di Sinar FM manakala Nazri Noran menggantikan tempat Rostam sebagai Pengurus Program Era FM.




Read more...

Nov 18, 2008

HALUSNYA RASULULLAH SAW BERDAKWAH

HALUSNYA RASULULLAH SAW BERDAKWAH

Perjuangan Islam itu sangat seni. Bukan semua orang nampak, sebab itu umat Islam huru hara di dunia ini. Berani sudah ada, usaha gigih, mana ada umat Islam tak berjuang? Semua gigih berjuang, ramai pula, tapi mana ada kejayaan? Makin hina sebab berjuang tidak ada seni. Sikit-sikit nak tembak orang, hennak mengata orang, itu bukan seni.

Islam itu halus dan berseni. Contohnya dengan dakwah boleh boleh mengetuk fitrah orang, boleh orang senang hati,tengok sahaja sudah jatuh hati. Itulah watak benda yang seni. Kalau kita berjuang tidak berseni, macam kita dengar orang pukul besi, dengar sahaja tidak larat, fikiran perasaan serabut pasal tidak seni. Berjuang yang tidak seni seperti pukul pahat sana sini, akhirnya sakit jiwa.

Islam itu seni. Mari kita lihat bagaimana seninya Rasulullah SAW,


Contoh ke 1 :

Satu hari baginda bawa Sayidina Umar. Rasulullah tahu Umar ini siapa. Umar ini berani, jiwa kuat, sebelum masuk Islam sudah pernah bunuh orang.

Satu hari Baginda mengajak Umar pergi tengah padang pasir, Rasulullah bawa ke satu lembah, wadi. Di situ ada bangkai unta, kuda, kambing, kepala manusia pun ada, tengkorak manusia pun ada.

Rasulullah kata, “Hai Umar apa kau lihat di sini, ini tempat busuk, bangkai binatang ada, manusia pun ada. Dulu mana ada undang bunuh, tangkap, bicara mana ada, bunuh campak sahaja”.

Bila Sayidina Umar lihat ada bangkai binatang dan manusia di situ, dia berkata pada Rasulullah,

“Ini bangkai wahai Rasulullah, campur antara bangkai manusia dan binatang”.

Rasulullah jawab, “inilah hakikat dunia, orang buru dunia senasib dengan yang kena buru”.

Ini seni. Mana ada tok guru yang ajar begini, kalau di masjid tok guru sekadar bersyarah, mana ada tok guru bawa murid lihat bangkai dan bersyarah depan bangkai tentang dunia?

Contoh ke 2 :

Berlaku juga di zaman Rasululah, orang-orang badwi yang baru peluk Islam, orang badwi ini tidak faham adab, tidak bertamaddun, walaupun dia masuk Islam tapi banyak lagi yg dia tidak faham. Satu hari dia berada di masjid, dia kencing dalam masjid. Rasulullah ada sahabat-sahabat pun ada. Walaupun badwi itu juga seorang sahabat tapi dia baru dididik.

Sahabat-sahabat yang lain apabila melihat keadaan itu naik berang juga, sedangkan wahyu belum sempurna, sahabat ikut apa yg turun waktu itu. Banyak yang mereka tidak tahu lagi, sebab itu ada sahabat yang marah, sahabat nak bertindak. Tapi Rasulullah kata, “Tidak apa, biarkan“. Kemudian Rasulullah yang cuci najis, buang, basuh, semua.

Itukan seni. Rasulullah SAW tidak marah, jadi sahabat-sahabat lain yang menyaksikan perbuatan Rasulullah itu rasa malu. Rasulullah bukan sahaja tidak marah malah tolong basuhkan pula.

Sahabat-sahabat lain pun terdidik sama dan yang terkencing itu pun turut insaf. Rasulullah tidak marah, dia basuh. Jadi kedua-duanya terdidik. Sahabat menjadi tahu teknik berdakwah, yang terkencing itu insaf.

Sebenarnya Islam itu seni, kalau tidak seni orang tidakkan boleh ikut.

Contoh ke 3 :

Satu hari Rasulullah bawa duit 2 dirham, baginda ke pasar. Di tengah jalan jumpa budak sedang menangis, rupanya dia adalah hamba pada seorang perempuan. Bila lihat budak itu menangis Rasulullah tanya mengapa.

Budak itu jawab, “Saya dibekalkan oleh tuan saya duit 2 dirham nak beli sesuatu, tapi duit itu dah hilang, itu yang saya takut. Biasanya kalau saya salah kena pukullah”.

Bila mendengarnya Rasulullah pun terus bagi duit pada budak itu. Setelah selesai membeli belah budak itupun balik, di tepi jalan Rasulullah jumpa lagi budak itu menangis lagi.

Lalu Rasullah bertanya, “Mengapa menangis? Bukankah saya sudah beri duit?”

Budak itu menjawab, “Tadi saya menangis kerana hilang duit, yang menangis kali ini kerana saya terlewat nak balik, biasanya kena marahlah”.

Lalu Rasullah berkata, “Kalau begitu tak apalah, saya hantar”.

Lalu Rasulullah pun hantarlah. Bila tuan dia tengok Rasulullah, dia pun malulah hendak marah pada hambanya.

Itulah contoh seni di dalam berdakwah yang dibawa panduan oleh Rasulullah SAW.


Read more...

Buang fanatik mazhab

ISLAM mengiktiraf perbezaan mazhab dalam bab fikah. Ia sepatutnya membawa rahmat kepada seluruh penganut agama suci ini. Bagaimanapun, sikap fanatik mazhab terutama dalam isu berkaitan fikah membawa perpecahan yang besar di kalangan umat Islam.

Perpecahan ini pula memberi ruang yang luas kepada pihak musuh untuk mengalahkan Islam.

Allah mengingatkan kita tentang larangan berpecah belah sesama Islam menerusi firman-Nya: Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kalian semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhan kalian, maka bertakwalah kepada-Ku. (al-Mukminun: 52)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual pensyarah (Bahasa Arab) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Anzaruddin Ahmad bagi mengupas persoalan fanatik mazhab ini.

Mega: Apakah maksud fanatik atau taksub?
ANZARUDDIN: Ringkasnya, fanatik atau taksub adalah sikap melampau yang dimiliki oleh seseorang sehingga menyebabkan dia tidak mahu meraikan apa juga pendapat lain yang berbeza.

Hal ini jelas bertentangan dengan sikap toleransi (tasamuh) yang dianjurkan oleh Islam. Seseorang yang dihinggapi penyakit fanatik sentiasa mendabik dada dan merasakan hanya pendapatnya yang selari dengan Islam, pendapat orang lain bukan dari agama.

Menurut Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi, sikap fanatik menjadikan seseorang itu berpegang kepada sesuatu mazhab, ideologi, pendapat bangsa atau kumpulannya secara membuta-tuli. Dia langsung tidak mahu menerima sebarang perbincangan dengan sesiapa yang berselisih pendapat dengannya.

Apakah punca taksub ini?
ANZARUDDIN: Menurut al-Syeikh Muhammad al-Ghazali antara punca utama taksub ialah niat yang salah. Wujudnya penyakit hati yang tersembunyi ini menyebabkan seseorang itu menjadi sangat keras hati. Malah sentiasa ingin menang dalam berhujah.

Penyakit taksub menjadi punca permusuhan di antara sesama Islam kerana penghidapnya cuba menyekat orang lain daripada berfikir dan beramal dengan pandangan yang berbeza. Kongkongan ini akan membantutkan perkembangan ilmu dan kebebasan beramal dalam perkara khilafiah.

Sedangkan menurut sarjana Islam, Sheikh Muhammad Rasyid Redha, orang yang menghidap penyakit taksub mazhab tidak dapat menerima bahawa khilaf itu adalah rahmat. Mereka bersikap melampau dengan mewajibkan orang lain supaya mengikut mazhab mereka sahaja. Pada masa yang sama, mereka juga mengharamkan orang lain mengikut mazhab yang lain.

Apakah pula celaan terhadap mereka yang mengadakan perbahasan ilmu untuk kemenangan diri bukannya mencari kebenaran?
ANZARUDDIN: Perbahasan atau perdebatan yang dilakukan semata-mata untuk memperlihatkan kehebatan berhujah dibimbangi akan membutakan hati sehingga menyebabkan kita tidak dapat melihat kebenaran.

Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulum al-Din mengatakan: "Ketahuilah bahawa perdebatan yang bertujuan untuk menang, membesar diri, menonjol diri, kelebihan, kemuliaan serta perhatian orang lain hanya ingin menconteng arang di muka pihak lain pada masa yang berhasrat menzahirkan kelebihan serta kebaikan diri sendiri di mata manusia merupakan punca segala keburukan akhlak di sisi Allah SWT. Penyakit ini sangat disukai oleh iblis".

Memang benar apa yang dikatakan oleh Imam al-Ghazali. Penyakit ini kadang-kadang membawa kepada sikap mencari-cari kelemahan para ulama. Kita perlu menerima bahwa para ulama juga manusia biasa yang bukan maksum.

Bagaimanapun, itu bukan bermakna kita diberi keizinan membuka aib mereka dengan menjaja kesilapan- kesilapan yang mereka lakukan.

Di negara kita, isu seperti perbezaan rakaat solat tarawih dan qunut pada solat subuh masih menjadi polemik di sesetengah tempat. Apakah keutamaan akhlak dalam hal sebegini?
ANZARUDDIN: Islam tidak pernah melarang para ulama berfatwa dan mengeluarkan pandangan. Namun, Islam sentiasa mensyaratkan agar persaudaraan sesama umatnya sentiasa terpelihara. Pembuatan fatwa dan pelaksanaannya mesti sentiasa mengambil kita persoalan akhlak agar manfaat daripada produk fikah yang dikeluarkan oleh para ulama berkekalan dan mudarat daripada perpecahan dapat dielakkan.

Kita perlu sedar bahawa fikah hanyalah interpretasi para ulama terhadap al-Quran dan sunnah. Oleh itu tarafnya tidak sama dengan al-Quran dan sunnah. Disebabkan interpretasi bersifat ijtihad, maka terhasil pelbagai pendapat yang berbeza-beza.

Sheikh Islam Ibn Taimiyyah mengatakan: "Sesuatu perbuatan itu kadangkala sunat dilakukan dan adakalanya digalak untuk ditinggalkan mengikut maslahatnya berdasarkan dalil-dalil syarak.

"Seseorang Muslim kadang-kadang digalak meninggalkan sesuatu perbuatan sunnah kerana apabila ia dilakukan, maka kerosakan (mafsadah) yang timbul lebih besar daripada maslahat yang diperolehi".

Mengenai membaca qunut pada solat subuh mari kita lihat kisah yang berlaku pada zaman Atba' al-Tabien yang melibatkan al-Imam al-Syafie.

Dikhabarkan pada suatu hari, Imam al-Syafie mengimami solat subuh di sebuah masjid di Baghdad yang majoriti makmumnya adalah pengikut Imam Abu Hanifah.

Dalam solat subuh itu, Imam Syafie tidak melakukan qunut sehinggakan pengikut Imam Hanifah bertanya, "kenapa tuan tidak qunut?" Imam Syafie menjawab: "Aku menghormati penghuni kubur di situ".

Kebetulan kubur Imam Abu Hanifah tidak jauh dari masjid tersebut. Maka, demi menghormati Abu Hanifah, Imam Syafie tidak membaca qunut.

Apa yang dilakukan oleh Imam Syafie bukanlah contoh penukaran fatwa (daripada qaul qadim kepada qaul jadid) tetapi adalah aplikasi beliau terhadap kaedah fiqh yang masyhur iaitu menolak kerosakan hendaklah didahulukan daripada menarik kemaslahatan.

Maknanya, apabila bertembung antara keburukan dengan kebaikan maka wajib menolak keburukan sekalipun tindakan tersebut akan menghilangkan manfaat.

Tentang bilangan rakaat solat tarawih, mari kita hayati kisah yang berlaku pada zaman Sheikh Hasan al-Banna.

Diceritakan bahawa pada satu malam Ramadan, al-Banna masuk ke sebuah masjid ketika orang ramai sedang bertengkar mengenai jumlah rakaat tarawih. Satu kelompok mengatakan ia 11 rakaat, satu lagi cenderung kepada 23 rakaat.

Al-Banna lalu bertanya kepada kelompok yang berpegang kepada 11 rakaat, "menurut kamu apakah hukum solat tarawih?" Mereka menjawab, "sunat".

Kepada kelompok yang cenderung 23 rakaat juga diajukan soalan yang sama. Lalu mereka juga memberi jawapan yang sama iaitu sunat.

Kemudian al-Banna bertanya lagi: "Apa hukumnya bertengkar sesama umat Islam di dalam masjid?" Mereka sepakat menjawab: "Haram".

Al-Banna kemudian menyedarkan mereka, "mengapa kamu melakukan yang haram hanya kerana ingin mempertahankan yang sunnah?"

Apa yang dilakukan oleh al-Banna adalah aplikasi pemahaman beliau terhadap fiqh aulawiyat (keutamaan). Peristiwa ini membuktikan betapa al-Banna adalah seorang pendakwah merangkap pemimpin gerakan Islam yang bukan sekadar mahir tentang fiqh keutamaan tetapi juga mahir dalam menentukan pada masa bila dan di mana sesuatu fatwa itu sesuai diamalkan.

Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam untuk merungkai permasalahan ini?
ANZARUDDIN: Umat Islam mesti meninggalkan fanatisme terhadap mana-mana individu atau mazhab. Sikap sebegini hanya akan melahirkan kedegilan dalam mempertahankan kesalahan dan menolak kebenaran yang akan berakhir dengan perpecahan.

Perbezaan pendapat (ikhtilaf) dalam perkara furu' (cabang) tidak sepatutnya menjadi sebab perpecahan dalam agama lebih-lebih lagi membawa permusuhan dan kebencian.

Sikap fanatik adalah barah kepada pemikiran umat Islam. Kerananya, para pengikut mazhab yang berbeza saling bercakaran dan bertindak melampau dengan mengkafirkan antara satu sama lain.

Paling menyedihkan ialah sikap fanatik mazhab itu mengorbankan ribuan nyawa dalam kalangan umat Islam. Mereka bukannya syahid pada jalan Allah kerana mempertahankan tanah umat Islam daripada penceroboh luar tetapi sebaliknya terkorban kerana berbunuhan sesama sendiri dalam mempertahankan mazhab fiqh masing-masing.

Hidup ini terlalu mahal untuk dibayar dengan perpecahan yang terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perdebatan yang tidak bermanfaat. Alangkah indahnya jika hidup yang mahal ini kita tebus dengan persatuan yang dilandasi semangat ukhuwah yang tinggi dan perasaan saling mencintai.


Read more...

Blog Archive


Bacaan Duduk Antara 2 Sujud

Bacaan Duduk Antara 2 Sujud
Related Posts with Thumbnails

Blogger 1

Blogger 2

Sabda Nabi s.a.w yangbermaksud, "Sesungguhnya
dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama
Rayyan, dimana memasuki
daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya."

Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan

apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.

Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP